Rakyat Sudah ‘Gatal Tangan’ Mahu Undi, Isyarat Rakyat Untuk PH

KIMANIS, 5 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, warga Kimanis ini adalah yang terpilih kerana sejak pucuk pimpinan negara dan negeri bertukar selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), majoriti rakyat Malaysia sudah ‘gatal tangan’ untuk mengundi semula.

Jelas beliau, rakyat mahu menghantar isyarat dan amaran kepada Pakatan Harapan (PH) dan Warisan bahawa mereka telah gagal dalam 18 bulan ini.

“Ramai yang gatal tangan untuk mengundi tapi tidak dapat sedangkan di Kimanis ini Tuhan beri peluang yang cukup besar untuk menyampaikan hasrat seluruh rakyat Malaysia yang mahukan PH dan Warisan sedar mereka telah gagal.

“Kalau kita bercerita pasal Warisan ini, sebenarnya mereka ini adalah kerajaan pintu belakang. Mereka bukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat sebab bukan mereka yang menang dalam PRU yang lalu, yang menang adalah BN.

“Jadi langkah pertama Warisan ini pun sudah gagal kerana mereka menjadi kerajaan melalui pintu belakang,” ujar beliau ketika berucap dalam program ramah-mesra bersama penduduk di PDM Brunei malam tadi.

Tambah Rahman, sebuah kerajaan yang tidak elok moral politiknya kerana menjadi kerajaan secara ‘kotor’ maka sudah pasti langkah seterusnya juga akan sumbang.

“Sebab itu kita lihat, apa mereka buat dalam tempoh 18 bulan ini? Kosong… Tapi jangan dikata kosong, ada yang mereka buat… mereka buat PSS.

“Mereka ini degil, sudah tahu PSS ini bahaya tapi buat juga. BN dulu setiap bulan hantar brpuluh ribu pendatang balik. Ini mereka beri tiga tahun untuk PATI duduk selesa di negara kita.

“Kerajaan negeri patut dengar suara rakyat… rakyat Sabah tidak mahu PSS,” ujar beliau lagi.

Tegas Rahman 1 Jun nanti apabila PSS dilaksanakan maka ia akan merupakan satu titik hitam buat sejarah Sabah.

“Maka pengundi di Kimanis ini harus memberikan tamparan politik kepada Warisan dengan memberikan kemenangan kepada calon BN,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.