PH Gagal, BN Akan Buat Laporan Dakwaan Program Beri Cabutan Bertuah

KIMANIS, 5 Jan – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, beliau akan meminta bilik gerakan BN untuk membuat laporan terhadap dakwaan cabutan bertuah berupa motosikal dan pelbagai barangan lain dalam satu program sambutan hari Krismas di pekan Membakut yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah.

Jelas beliau, ini jelas adalah satu kesalahan akta pilihan raya.

“Ini adalah salah kerana PRK sedang berlangsung di Parlimen Kimanis tapi mungkin kerana mereka tahu tidak akan ada tindakan maka perkara sebegini berleluasa.

“Inilah kerajaan PH yang menjanjikan bulan dan bintang, beri harapan palsu kepada orang, hari ini orang boleh menilai.

“Bagi mereka itu semua halal kerana mereka merasakan mereka ‘above the law’, sebab itu banyak orang didakwa tapi dalam proses pendakwaan pun kes boleh dibuang begitu sahaja, yang sedang dibicarakan pun boleh lepas.

“Janji mereka dulu akan mendalamkan dasar yang telus, tapi sebenarnya mereka melakukan sesuatu yang lebih buruk daripada apa yang terjadi dalam BN… BN hanya disebabkam satu dua perkara, itu sahaja yang menyebabkan kita kalah dan fitnah yang dimainkan oleh mereka,” ujar beliau kepada media selepas menghadiri program beramah mesra dengan jentera di PDM Brunei malam tadi.

Ketika ditanya bagaimana mahu menawan hati pengundi bukan Islam Mohamad menegaskan, BN tidak pernah berkempen hanya kepada orang Islam sahaja.

“Kita berkempen kepada pengundi tanpa mengira agama dan bangsa. Itu sebabnya saya tidak sentuh pasal kaum atau agama. Saya sentuh pasal dasar kerana dasar PH hari ini adalah merupakan dasar yang tidak ada harapan, tidak ada hala tuju dan tidak tahu mengurus negara, asyik-asyik bertengkar kerana jawatan.

“Hari ini parti dalam gabungan PH memasang strategi untuk mencari pengganti perdana menteri. Ekonomi negara kita teruk… Mereka kena akui, pasaran saham terburuk, ini belum lagi cakap nilai yang telah lesap dek kerana harga saham turun.

“Bukan nak kata kita pandai sangat tapi sekurang-kurangnya dulu BN mempunyai hala tuju yang orang boleh melihat dan pencapaiannya dapat diukur,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.