Jangan Lari… Warisan Adalah PH, Tak Mampu Bela Rakyat Sabah

KIMANIS, 5 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata Parti Warisan tidak boleh menjual cerita bahawa mereka bertanding di Kimanis untuk membela nasib rakyat Kimanis, sedangkan ternyata dasar-dasar mereka jelas menzalimi rakyat.

Katanya, orang tahu kepimpinan Warisan tidak mahu dikaitkan dengan kerajaan pusat di bawah PH di Putrajaya.

“Beria-ia Warisan mahu dilihat sebagai parti tempatan Sabah yang tidak bertuankan politik Semenanjung Malaysia.

“Warisan juga tidak mahu terpalit dengan kelemahan demi kelemahan yang dilakukan oleh kerajaan pusat. Itu kita faham. Takkan lah Warisan mahu dilihat bersekongkol dengan orang ‘Malay’. Palis-palis kata orang Sabah. Namun realitinya jauh berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, Warisan tidak boleh menafikan bahawa ia adalah sebahagian daripada kerajaan pusat kerana sebenarnya, Warisan diwakili tiga orang menteri dan dua orang timbalan menteri dalam kabinet kerajaan persekutuan.

“Kita tidak pernah dengar tiga menteri Warisan membantah dasar-dasar kejam kerajaan pusat.

“Warisan tidak boleh mencuci tangan dari kepincangan dan kelemahan kerajaan pusat. Warisan adalah sebahagian dari pembuat dasar dan keputusan di peringkat kerajaan pusat.”

Jelasnya, apabila kerajaan pusat memberhentikan dan memotong subsidi rakyat termasuk bantuan BR1M, bantuan nelayan, bantuan petani, bantuan ibu tinggal, bantuan orang tua, bantuan peladang, bantuan penternak, bantuan usahawan, Warisan wajib dipersalahkan.

“Bila kerajaan pusat mengurangkan biasiswa, memotong jumlah rumah kos rendah, mengurangkan subsidi haji, memberi dividen rendah amanah saham, LTAT dan KWSP, Warisan perlu dipertanggungjawabkan.”

Tegasnya, Warisan tolong jangan lari.

“Jadilah orang yang ‘gentlemen’ dan mengakulah bahawa mereka adalah sebahagian dari kerajaan pusat yang terang-terang menganiaya rakyat,” katanya yqng Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran. – UMNO ONLINE

Oleh: Amani Farihin

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.