Dakwaan Cabutan Bertuah: SPR Diminta Siasat, Jangan ‘Double Standard’

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta melakukan siasatan berhubung dakwaan dikatakan berlakunya cabutan bertuah dalam satu program ketika tempoh berkempan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata dalam proses pilihan raya institusi penting adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ianya mesti melaksanakan seperti mana yang termaktub dalam akta dan peraturan.

“Telah viral dikatakan gambar-gambar yang menunjukkan satu majlis dilaksanakan oleh parti Warisan, ada cabutan nombor bertuah motosikal, kereta dengan sebahagian yang hadir adalah pengundi dan ianya salah dari segi peraturan pilihan raya.

“Sebab itu kita minta pihak SPR siasat perkara ini, tidak boleh ‘double standard’, mereka parti kerajaan kita mesti menghormati undang-undang. Kalau kerajaan tidak hormat undang-undang macam mana nak mentadbir. Program itu dilaksana dalam tempoh berkempen…,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah Dr Shamsul majlis sambutan Krismas itu tidak dipersoal sebab menghormati hari perayaan namun apa yang dipertikaikan ialah ada acara yang dilakukan salah dari segi peraturan pilihanraya apatah lagi diadakan dalam waktu kempen.

Memetik laporan, dilaporkan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, beliau akan meminta bilik gerakan BN untuk membuat laporan terhadap dakwaan cabutan bertuah berupa motosikal dan pelbagai barangan lain dalam satu program sambutan hari Krismas di pekan Membakut yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah.– UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.