Satu Lawan Satu PRK Kimanis, 5,000 Penyokong BN Banjiri Pusat Penamaan

BEAUFORT, 4 Jan – Hampir 5,000 penyokong dan pendokong Barisan Nasional (BN) memenuhi luar Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir yang merupakan pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, hari ini.

Mereka berkumpul seawal pukul 7.30 pagi dan jumlah yang hadir meningkat dari semasa ke semasa dan perarakan ke pusat penamaan calon bermula pada pukul 8.45 pagi.

Laungan ‘Radu Tatap Radu’, ‘Ubah Balik’ dan sebagainya lagi kedengaran dengan masing-masing dilihat cukup bersemangat mengibarkan bendera BN.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Hasan, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan pimpinan BN lain peringkat negeri dan pusat bersama-sama dengan penyokong serta pendokong BN bersemangat mengiringi calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Sementara itu Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kimanis, Jupri Etok mengumumkan PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Mohamad Alamin dengan calon Warisan, Datuk Karim Bujang.

Datuk Mohamad Alamin mengemukakan kertas pencalonan pada pukul 9.07 pagi manakala Datuk Karim Bujang pada pukul 9.10 pagi.

Dalam pada itu berlaku sedikit kekecohan di luar pusat penamaan apabila penyokong kedua-dua belah parti saling berbalas laungan namun kemudiannya berjaya ditenteramkan oleh pihak Polis.- UMNO Online

Oleh Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.