UMNO Sabah Siap Siaga Berkempen, Aplikasi Sepenuhnya Kuasa Autonomi

KIMANIS, 3 Jan – Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Raimi Unggi berkata, UMNO Sabah telah bersedia sepenuhnya bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang bakal berlangsung pada 18 Januari nanti.

Jelas beliau, setelah UMNO Sabah diberikan autunomi oleh UMNO pusat, pelbagai perubahan dan penyusunan semula telah dilakukan bagi memantapkan lagi parti keramat ini di bumi Sabah.

“Kebetulan setelah diberi autonomi, kita berhadapan pula dengan PRK Kimanis, jadi kita telah menyusun gerak kerja lebih awal di semua peringkat. Bahagian Kimanis contohnya, kita telah menyusun semula UMNO bahagian Kimanis ini bagi menghadapi PRK ini.

“Justeru, saya berkeyakinan dengan kekuatan jentera yang telah disusun semula maka kita akan dapat menguasai semua PDM,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Raimi, kekuatan dan perubahan yang dilakukan ini kini disokong dengan pola pengundi masa kini yang telah mula bosan dan tidak percaya dengan tampuk kerajaan pimpinan Warisan.

“Ini kerana tidak ada tanda-tanda positif yang kita lihat boleh membantu rakyat dari semua sudut. Banyak kepentingan negara dan rakyat sudah digadai oleh kerajaan hari ini.

“Jadi, saya berharap UMNO dan BN dapat menggunakan ‘kebetulan’ ini bagi mempertahankan kerusi Kimanis ini,” ujar beliau.

Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU 2019) yang lalu telah meluluskan pindaan usul memberikan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah.

Keputusan ini dibuat kerana hanya orang Sabah yang lebih arif akan masalah dan perkara yang boleh dilakukan di negeri itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.