Ubah Balik Jadi Tekad Rakyat Sabah Setelah Tertipu Janji PH PRU-14

KIMANIS, 3 Jan – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Nilwan Kabung berkata, kekalahan Barisan Nasional (BN) di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah kerana perubahan persepsi rakyat yang terpengaruh dengan janji manis Pakatan Harapan (PH).

Namun kini jelas beliau, rakyat Sabah sudah mulai sedar bahawa mereka telah tertipu dengan janji manis PH dan Warisan.

“Dalam PRU lalu, bukan hanya di Kimanis tetapi disemua kubu kuat BN dilanda badai kerana kerana persepsi dan pembohongan yang dilakukan oleh PH. Siapa tidak mahu kalau dijanjikan kos sara hidup akan turun, PTPTN akan dihapuskan dan sekolah percuma… tapi hari ini tidak satu pun yang menjadi kenyataan.

“Janji PH menurunkan harga barang namun hakikat sebenarnya harga barang makin meningkat, janji minyak Petronas 80 peratus akan jadi milik Sabah, jangan kata 80 peratus, yang 20 peratus pun tidak selesai.

“… janji Warisan pendatang asing akan dihantar balik tetapi hari ini bukan dihantar balik tetapi diberi Pas Sementara Sabah (PSS). Ini semua menyebabkan rakyat Sabah kecewa,” ujar beliau ketika menjadi panel dalam program bual bicara sempena PRK Kimanis yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UMNO-Online malam tadi.

Tambah Nilwan, sebenarnya jika dihitung berdasarkan lambang pada PRU yang lalu, BN tidak kalah.

“Lambang Warisan menang 21 Kerusi, Dap enam dan PKR dua. Mereka bergabung menjadi 29 manakala BN yang hanya menggunakan satu lambang menang 29 kerusi. Dengan kemasukan dua kerusi daripada STAR BN menjadi 31.

“Tetapi kerana ada yang melompat akhirnya BN tewas dan yang menjadi persoalannya kini Sabah sebenarnya kerajaan apa kerana jika dikatakan kerajaan PH, Warisan tidak pernah menyertai PH. Jadi apa status kerajaan negeri sebenarnya?” soal beliau.

Justeru jelas Nilwan, PRK Kimanis ini akan menjadi tempat untuk rakyat Sabah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dengan ‘ubah balik’.

Seorang lagi panel, Ketua Penerangan UMNO Kimanis, Ahmad Gais berkata, kini dapat dilihat dengan jelas perubahan rakyat Sabah yang kecewa dengan kerajaan negeri pimpinan Warisan.

“Pada mulanya rakyat Sabah merasakan Warisan adalah parti untuk mereka bergantung harap namun setelah Warisan mengambil alih tampuk pimpinan negeri, apa yang dikata dan dijanjikan hanya palsu.

“Lebih mengecewakan bila isu lain pula timbul iaitu isu pendatang asing. Ini semua mengecewakan. Sudahlah rakyat Sabah makin susah, sinar yang diharapkan oleh kerajaan baru pula makin malap.

“Jadi rakyat Sabah akan menyuarakan rasa kecil hati mereka melalui PRK Kimanis ini,” ujar beliau. – UMNO-ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit