Sabah Dan Kimanis Mundur… Apa Shafie Apdal Buat Masa Jadi Menteri KKLW Selama Tujuh Tahun?

KIMANIS, 3 Jan – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan membidas tindakan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal sewaktu berucap dalam majlis pengumuman calon Warisan untuk PRK Kimanis beberapa hari yang lepas  yang terus menyalahkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai punca kenapa Kimanis dan Sabah masih lagi mundur.

Jelas Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran jika diimbas kembali sejarah sebenarnya Datuk Seri Shafie pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar yang pertama berasal dari Sabah yang dilantik secara khusus oleh Datuk Ser Najib Razak dengan harapan beliau dapat menyelesaikan masalah pembangunan luar bandar terutamanya di negeri Sabah.

Tegasnya kementerian Shafie juga diberi keistimewaan dan keutamaan lebih dari kebanyakkan kementerian-kementerian yang lain oleh Datuk Seri Najib dalam mengendalikan proses kelulusan dan agihan bajet.

“Aduan yang disebut dalam ucapan beliau itu sebenarnya boleh saja diselesaikan dalam tempoh tujuh tahun beliau menjadi menteri KKLW, itu pun kalau beliau mahu…

“Beliau pernah memberi alasan kononnya bajet KKLW tidak mencukupi. Namun realitinya dengan bajet pembangunan berpuluh-puluh bilion ringgit selama beliau menjadi menteri KKLW, Sabah boleh saja menjadi keutamaan nombor satu semasa beliau menerajui KKLW”, katanya dalam hantaran di facebook milik beliau hari ini.

Anihnya jelas Abdul Rahman lagi parti Warisan menuntut 20% royalti minyak dengan harapan tambahan 15% royalti dapat digunakan untuk membangunkan negeri Sabah, sedangkan semasa memegang portfolio KKLW, dengan bajet pembangunan berpuluh-puluh bilion yang sudah pun tersedia, KKLW masih tidak dapat mengutamakan penyelesaian pembangunan Sabah.

“Kalau Warisan dengan lantang boleh menuntut 20% royalti minyak yang belum tentu dapat ditunaikan oleh kerajaan pusat, kenapa tidak mahu menyelesaikan pembangunan infrastruktur Sabah semasa menjadi menerajui KKLW yang sudah ada bajet tersedia berjumlah berpuluh-puluh bilion ringgit? Janganlah menunding jari.

“Sebagai rujukan, Datuk Seri Shafie menjadi Menteri KKLW dari tahun 2009 hingga 2015. Jumlah perbelanjaan pembangunan KKLW (2009-2015) ialah RM34,818,000,000 (RM34,818 bilion). Jumlah bajet pembangunan KKLW adalah kedua terbesar selepas Jabatan Perdana Menteri dari tahun 2012 hingga tahun 2015”, ujarnya.

Bercakap pasal tuntutan royalti minyak 20% oleh Warisan pula tambah Abdul Rahman, rakyat sekarang tertanya-tanya apa status terkini perkembangan tuntutan ini?

“Bolehkah calon Warisan jawab sama ada tuntutan 20% ini sudah dicapai atau tidak semasa kempen di Kimanis ini? Rakyat mau tahu bah…”, katanya secara sinis. –UMNO ONLINE

Oleh : Harris Kamal

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.