Rakyat Disuruh Ikat Perut Tapi Menteri PH Dapat Velfire – Najib

KIMANIS, 3 Jan – “Rakyat disuruh ikat perut tapi menteri dapat Velfire,” sindir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas beliau, kini secara tidak langsung membuktikan hanya Barisan Nasional yang benar-benar membela dan memdengar denyut nadi rakyat.

“Tiada siapa boleh nafikan masa BN memerintah, kebajikan rakyat diutamakan. Sekarang kerajaan baru, rakyat disuruh ikat perut tapi menteri dapat Velfire.

“Kalau dikira, ia akan memakan belanja RM300 juta untuk tempoh lima tahun… Apa salah pakai Proton? Dulu tuduh BN boros tapi sekarang rakyat boleh menilai dan lihat sendiri,” ujar beliau ketika berucap dalam perjumpaan bersama jentera di PDM Membakut sempena PRK Kimanis.

Dalam ucapannya juga Najib mengatakan, PRK Kimanis ini adalah satu peluang terbaik untuk meneruskan momentum ke arah kemenangan BN.

“Saya lihat rata-rata ‘mood’ sekarang ini rakyat hendakkan perubahan… Mahu ubah balik sebab mereka sudah kesal dan menyesal.

“Mana-mana saya pergi rakyat akan cakap, kerajaan yang menang atas pembohongan, menang atas tipu helah dan janji palsu, tidak layak untuk perintah negara.

“Saya juga lihat walaupun kita pembangkang tapi rakyat tetap menghormati BN, kalau tidak takkan kita boleh menang besar di Tanjung Piai,” ujar beliau.

Untuk rekod, PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU-14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Parlimen P176 Kimanis diadakan pada 18 Januari 2020. Penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 Januari. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.