Radu Tatap Radu… Ubah Balik Laungan Jentera Pertahan BN Di Kimanis

KIMANIS, 3 Jan – Radu Tatap Radu, Radu Tatap Radu, Radu Tetap Radu… Ubah Balik, Ubah Balik. Begitulah laungan dan semangat yang ditunjukkan oleh jentera serta penduduk setempat di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kimanis Mandahan ketika menyambut ketibaan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka dilihat cukup bersemangat dalam melaksanakann gerak kerja dan hanya menunggu ‘wisel’ permulaan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis Sabtu ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya sempena lawatan beliau ke PDM berkenaan, semalam melahirkan rasa bangga dengan semangat yang dipaparkan oleh jentera serta penduduk setempat yang terus ‘setia’ dalam perjuangan untuk rakyat.

“Kita tetap kekal radu tatap radu. Amat yakin rakyat kini telah sedar, rakyat kini telah mula buka mata dan buka telinga kerana harga barang makanan makin naik, barangan pertanian yang kita jual turun. Sepatutnya barang keluaran pertanian naik, barang naik baru seimbang.

“Ertinya kerajaan yang ada sekarang ini tidak dapat membela rakyat sebagaimana yang dijanjikan. Oleh sebab itu satu signal mesti dihantar kepada mereka seperti yang kita pernah hantar di dalam PRK di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau serta Tanjung Piai bahawa rakyat sekarang mula sedar kerana janji-janji tidak ditepati dan fitnah itu kita percaya.

“Begitu juga kerajaan di Sabah ini… saya tidak mahu memburukkan sesiapa pun dan ini satu realiti dan ini satu kenyataan. Rakyat semakin susah, cukai semakin naik… insya-Allah BN adalah barang baik yang akan membela nasib rakyat seterusnya,” katanya.

Beliau seterusnya menambah Datuk Seri Anifah Aman yang merupakan Menteri Luar sebelum ini telah menabur jasa yang cukup banyak kepada negara.

“Datuk Anifah sahabat saya… walaupun beliau sepatutnya bertanding semula untuk mempertahankan maruahnya, tetapi beliau mempunyai pemikiran yang terbuka dan berlapang dada. Saya berbincang dengan beliau melalui telefon, beliau menyatakan bahawa kali ini tidak mahu bertanding tetapi memberikan dokongan kepada Datuk Mohamad Alamin sebagai calon BN,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.