PRK Kimanis: Mohamad Alamin Calon Tepat Bawa Suara Rakyat

KIMANIS, 3 Jan – Datuk Mohamad Alamin calon yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) bagi mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis disifatkan sebagai seorang calon ‘winnable candidate’.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, Mohamad Alamin adalah seorang individu yang komited dalam kerja.

“Saya telah mengenali beliau lebih daripada 20 tahun. Kami berada di universiti yang sama dan diawal karier sebagai peguam juga kami bersama. Sebab itu saya tahu beliau adalah seorang individu yang sangat komited dengan kerja, dengan amanah yang diberikan dan sangat rajin turun padang.

“Ini adalah kualiti-kualiti yang perlu ada pada seorang pemimpin yang dikehendaki oleh rakyat. Justeru, saya berharap agar Mohamad Alamin diberi peluang untuk menjadi wakil dan suara kepada warga Kimanis agar beliau dapat menyuarakan setiap masalah terutama yang dicetuskan di Sabah pada ketika ini.

“Saya yakin beliau boleh membawa suara yang kuat dan keramat bagi pihak warga Kimanis seterusnya memberikan satu signal kepada kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dan kerajaan negeri Warisan bahawa mereka sudah tidak diterima,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Bagi Pengerusi Perhubungan MCA Sabah Lu Yen Tung, pemilihan Mohamad Alamin adalah sesuatu yang tepat dan MCA akan bekerja keras bagi membantu kemenangan calon BN ini.

“Saya memang mengenali beliau dan saya yakin beliau adalah calon paling tepat untuk mewakili BN di PRK Kimanis ini. MCA akan membantu sebaik mungkin bagi menyakinkan pengundi Cina di sini untuk memilih calon kita,” ujar beliau.

Ketua MCA bahagian Kimanis Ricky Liew Seng Kee juga bersependapat bahawa Mohamad Alamin adalah pilihan yang paling sesuai untuk mewakili BN di PRK ini.

“Sebab itu MCA telah memulakan gerak kerja dari awal dan kita juga telah bersedia di peringkat PDM,” ujar beliau.

Mohamad Alamin atau lebih dikenali dengan panggilan Moh merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan dan merupakan anak tempatan kawasan terbabit.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU-14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Parlimen P176 Kimanis diadakan pada 18 Januari 2020. Penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 Januari. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.