PRK Kimanis Bakal Serlahkan Kebangkitan Baru Rakyat Setelah Tertipu Dengan PH

KIMANIS, 3 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican berkata, takdir telah menentukan Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) namun takdir juga menentukan berlaku kebangkitan rakyat yang kecewa dengan kerajaan sedia ada.

Jelas beliau, kebangkitan ini juga akan menjadikan Kimanis sebagai satu referendum kebangkitan rakyat yang sekarang berasa tertipu dengan janji Pakatan Harapan (PH) dan Warisan.

“Bila kita tewas, ia kekalahan yang memeritkan hati… takdir tertulis BN tewas pada PRU-14 yang lalu tapi disebabkan takdir ini juga berlaku satu kebangkitan baru rakyat Malaysia.

“Bermula di Cameron Highlands, kemudian di Semenyih, Rantau dan akhirnya di Tanjung Piai. Takdir ini juga dengan usaha, tidak mustahil Kimanis akan menjadi petanda kebangkitan baru ini,” ujar beliau dalam program kenduri rakyat di PDM Pimping, malam tadi.

Justeru jelas beliau, pengundi di Kimanis ini harus memastikan calon BN, Datuk Mohamad Alamin menang pada hari pengundian nanti.

“Rakyat sedang menderita, jadi kita nak pastikan pembelaan sewajarnya. Sekarang ini seolah-olah rakyat tidak bernilai di mata kerajaan… segala bantuan untuk rakyat dipotong dan ini jauh berbeza dengan zaman BN dulu,” ujar beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas.

4 Januari ini telah ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan seterusnya kempen PRK Kimanis bermula dengan 18 Jan adalah hari pengundian.

Justeru, jentera BN telah pun bersiap sedia bagi memastikan Parlimen Kimanis ini kembali kepada BN. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.