PRK Kimanis Akan Jadi Titik Tolak Perubahan Lanskap Politik Sabah

KIMANIS, 3 Jan – Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Azeez Rahim berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis akan menjadi satu titik tolak perubahan lanskap politik Sabah sebagaimana Tanjung Piai mengubah lanskap politik di Semanjung.

Justeru jelas beliau, pengundi di Kimanis harus mengundi calon BN, Datuk Mohamad Alamin bagi memastikan perubahan positif kepada senario politik Sabah.

“Kami turun di Kimanis ini untuk membantu PRK di sini. Kita hendak ubah balik sebab janji kerajaan tidak ditunaikan. UMNO dan BN pula sentiasa membantu rakyat sebab kita jaga kebajikan rakyat.

“Dulu masa kes Lahad Datu, selaku Pengerusi Kebajikan UMNO Malaysia saya berkampung 21 hari di sana.

“Kita buat kerja-kerja kebajikan, hari ini ada bantuan seperti itu? Bila banjir dulu, air lalu depan rumah… tidak masuk rumah pun tapi tetap dapat beras, gula kopi… sekarang ada?” ujar beliau ketika berucap dalam program kenduri kampung di PDM Pimping, malam tadi.

Tambah Azeez, UMNO dan BN melakukan kerja membantu rakyat bukan kerana janji yang dibuat tetapi adalah kerana tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kita buat sebab kita nak bantu rakyat tetapi PH janji dalam manifesto tetapi janji hanya tinggal janji,” bidas beliau.

Untuk rekod, PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU-14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Parlimen P176 Kimanis diadakan pada 18 Januari 2020. Penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 Januari. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.