‘Bisik-Bisik’ Yakinkan Pelbagai Pihak BN Bawa Suara Rakyat – Asyraf

KIMANIS, 3 Jan – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ‘strategi bisik-bisik’ dilihat langkah terbaik dalam usaha menarik sokongan rakyat termasuklah mereka yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau tanpa memusuhi sesiapa apatah lagi perang mulut dengan pihak lawan dan sebagainya, maka insya-Allah Barisan Nasional (BN) yang membawa suara rakyat akan mendapat kepercayaan.

“Kita bisikkan… orang Warisan ka… apa ka jangan marah… jangan gaduh… jangan berperang mulut atau maki hamun. Orang lompat pergi ke PPBM dan sebagainya jangan marah mereka.

“Katakan kepada mereka kamu semua macam kami juga ‘kena kencing’… kita pujuk mereka… kalau mereka takut tinggalkan PPBM, tinggalkan Warisan kita katakan kepada mereka teruskan pakai baju Warisan dan sebagainya tetapi 18 Jan nanti undi BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kimanis Mandahan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pemuda BN seterusnya menambah pelbagai janji yang telah ditawarkan oleh kerajaan baru tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Orang muda dijanjikan peluang pekerjaan 1 Juta tetapi sampai ke hari ini tidak ada, hutang PTPTN begitu juga, janji Sabah akan berubah sebelum ini… berubah atau tidak… yang berubahnya apa… PTI nak diberikan PSS. Bukan itu sahaja saya pergi mana-mana rakyat mengeluh kononnya kalau PH naik, Warisan naik… harga barang turun… turun atau tidak?

“Harga minyak turun atau tidak… turun ke tangki minyak? Semuanya ‘kena kencing’ kena bohong. Sebab itulah kita membawa suara rakyat. Sebelum ini, rakyat Malaysia sudah menunjukkan satu isyarat di dalam beberapa PRK termasuk yang terbaru tidak sampai sebulan yang lepas iaitu PRK Parlimen Tanjung Piai, menang besar, orang Johor kata salam 15,000.

“Kita ada amanah … amanah untuk rakyat Sabah. Kalau Kimanis menang ia suatu isyarat besar bahawa Sabah mula untuk berubah. Kita nk ubah balik kepada BN,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Asyraf dan jentera Pemuda turut mengambil kesempatan dengan mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan bersama pemuda setempat yang diadakan di padang kampung berkenaan.

Perlawanan tersebut ternyata menarik tumpuan penduduk khususnya dikalangan pemuda setempat yang tidak melepaskan peluang untuk sama-sama beriadah menerusi perlawanan bola sepak dengan Pemuda UMNO. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.