Kemenangan Di PRK Kimanis Bakal Jadi Lambang BN Tidak Pupus Di Bumi Sabah

KIMANIS, 2 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis adalah penting sebagai cerminan kemenangan untuk rakyat Sabah sekaligus membuktikan bahawa BN tidak sesekali pupus di bumi Sabah ini.

Jelas beliau,  sokongan dan calon terbaik yang ditampilkan oleh parti, pasti mampu memacu kemenangan BN di sini.

“Saya yakin bakal calon kita iaitu Datuk Mohamad Alamin adalah calon terbaik. Beliau adalah anak tempatan dan profesional. Saya pasti ramai yang mengenali beliau.

“Oleh itu, Pemuda berjanji akan bekerja sehabis baik bagi memastikan kemenangan calon BN di PRK Kimanis ini,” ujar beliau ketika berucap dalam program pelancaran jentera peringkat PDM Lumat yang telah disempurnakan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Namun begitu Asyraf mengingatkan agar jangan sesekali terlebih yakin kerana apa yang penting adalah kerja kuat dan memastikan para pengundi memilih calon BN.

“Kepada yang lompat, kita jangan marah mereka… kita pujuk mereka. Jika mereka takut periuk nasi mereka tergugat… tidak mengapa, minta mereka undi BN dalam diam.

“Kita ada tempoh yang tidak panjang dan pada 18 Januari nanti adalah saat paling penting bukan hanya untuk pengundi Kimanis tapi untuk rakyat Sabah. Jadi kita kena pastikan rakyat menyokong BN,” ujar beliau lagi.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU-14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Parlimen P176 Kimanis diadakan pada 18 Januari 2020. Penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 Januari. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.