Jangan Anggap Pilih Wakil Rakyat Main-main, Undi Untuk Bawa Suara Rakyat – Hadi

KIMANIS 2 Jan – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan pemilihan pemimpin adalah perkara yang perlu diperhalusi sebaik mungkin dengan rakyat mesti membuat penilaian sebaiknya dan jangan sesekali beranggapan mengundi sesiap sahaja adalah sama.

Menurut beliau sebenarnya tanggapan mengundi sesiapa sahaja adalah tidak betul kerana masih ada tanggungjawab dan mesti faham betapa besarnya kewajipan dalam membuat penilaian untuk memilih seseorang pemimpin.

“Jangan kita anggap pilih wakil rakyat ini main-main dan perkara biasa. Wakil yang kita pilih ini akan menjadi wakil kita di Parlimen diperingkat pusat dan bercakap bagi pihak kita. Alhamdulillah UMNO mencalonkan Datuk Mohamad Alamin yang mempunyai pendidikan tinggi, usianya masih muda dan gagah, dan insya-Allah dapat menunaikan kewajipan ini.

“Jika di Tanjung Piai mendapat kemenangan dengan majoriti yang besar, takkanlah orang di Kimanis tidak boleh memberikan majoriti besar kepada calon kita ini. Beri sokongan walaupun pertandingan dalam pilihan raya sangat menyakitkan, lawan anak beranak, lawan keluarga, cubit paha kanan paha kiri sakit tetapi terpaksa dalam suasana yang begini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Perdana dan kenduri Rakyat di Kg Pimping, Membakut, di sini malam tadi.

Turut berceramah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan setempat yang lain.

Tambah Hadi lagi rakyat perlu memilih pemimpin yang terbaik dan apabila tiba masanya pilihan raya kecil nanti untuk memberikan isyarat bukan sahaja di Parlimen Kimanis tetapi untuk Malaysia seluruhnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.