Autonomi UMNO Sabah Bukan Secara Selindung Dan Retorik – Ahmad Zahid

KIMANIS, 2 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata autonomi yang diberikan kepada UMNO negeri Sabah memberi manfaat dan kelebihan yang cukup bermakna untuk rakyat negeri itu secara keseluruhannya.

Berucap pada Ceramah Perdana dan kenduri Rakyat di Kg Pimping, Membakut di sini malam tadi, beliau menegaskan kuasa autonomi yang diberikan kepada UMNO negeri berkenaan bukanlah dalam soal pemilihan calon-calon pilihan raya sahaja tetapi jauh daripada itu termasuklah soal membabitkan Perjanjian MA63.

“Apabila Perhimpunan Agung UMNO yang lalu memberikan kuasa autonomi sepenuhnya… ertinya UMNO Sabah adalah untuk orang Sabah dan UMNO Sabah mempunyai kuasa sepenuhnya bukan sahaja dalam soal pemilihan calon, bukan sahaja memilih Ketua Menteri tetapi insya-Allah mereka juga akan memperjuangkan perjanjian MA63 dilaksanakan sepenuhnya.

“Kita juga tahu tuntutan rakyat Sabah terhadap peruntukan royalti minyak dan ini adalah perkara yang telah tercatat dalam MA63. Kita faham apakah kekangan, apakah permasalahan yang dihadapi oleh Petronas atau Khazanah atau Kementerian Kewangan tetapi kita yakin bahawa kerajaan yang ada sekarang ini tidak mampu untuk melaksanakan permintaan rakyat Sabah untuk memberikan royalti minyak sebagaimana yang dituntut.

“Tetapi insya-Allah dengan adanya autonomi UMNO Sabah maka hubungan baik antara UMNO Malaysia dan UMNO Sabah dipererat, saya berpendapat bahawa kita boleh memenuhi permintaan anak-anak Sabah dan rakyat Sabah pada ketika itu, insya-Allah,” katanya.

Turut beceramah pada program berkenaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pimpinan UMNO yang lain.

Tambah Ahmad Zahid lagi begitu juga dalam soal peruntukan pembangunan untuk rakyat di negeri berkenaan yang mana ianya disalurkan terus ke Kementerian Kewangan kerajaan negeri Sabah dan bukannya dalam bentuk projek.

“UMNO Sabah telah meminta supaya peruntukan pembangunan tidak diberikan dalam bentuk projek. Mereka mahu supaya peruntukan diberikan mengikut keperluan orang Sabah dan orang Sabah yang tahu dimana projek mahu dibelanjakan, dimana jalan yang mahu dinaikkan taraf, di manakah kawasan-kawasan yang mahu dibangunkan dan mereka juga minta Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan negeri Sabah diberikan keutamaan kepada rakyat tempatan untuk mengetuainya.

“Manakala pelaksanaan projek-projek di Sabah tidak dipantau oleh kementerian di pusat tetapi dipantau oleh jabatan-jabatan di negeri Sabah sendiri oleh rakyat Sabah. Itulah autonomi yang sebenarnya dan bukan autonomi yang berselindung,” tegasnya.

Ahmad Zahid turut melontarkan pantun yang menarik tumpuan mereka yang hadir memenuhi perkarangan Sedco Saga-Saga Pimping.

Pekan Kimanis dalam Sabah,
Sayur segar ikan kerapu;
Manifesto manis bawa padah,
Rakyat Sedar mereka ditipu.

Jangan takut janganlah gundah,
Biarpun harimau kuat mengaum;
Muafakat Sabah terjalinlah sudah.
Tanda penyatuan semua kaum.

Dalam pada itu beliau turut berpandangan ada ‘ibrah’ atau ada hikmah kenapa Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis diadakan.

“Ya… hikmah ini adalah ilmu Allah swt, tetapi di atas kertas… atas pemikiran kita bahawa apabila menang pada PRK Kimanis akan melahirkan tokoh parti pembangkang di Dewan Rakyat tanpa peruntukan, tanpa adanya projek-projek,” ujarnya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.