Semangat Tanjung Piai Dibawa Ke PRK Kimanis Untuk Kemenangan BN

KIMANIS, 1 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, UMNO Johor akan membawa semangat Tanjung Piai di  Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis ini.

Jelas beliau, selaku negeri angkat yang menjaga PDM Lumat, UMNO Johor akan memastikan BN menang besar di Kimanis ini sama seperti di Tanjung Piai.

“Johor datang sebagai tentera tambahan di PRK ini. Kita akan membantu jentera yang telah sedia ada untuk memastikan kemenangan bakal calon kita.

“Kerana itu, Johor membawa semangat Tanjung Piai untuk disuntik di PRK ini,” ujar beliau ketika berucap dalam program pelancaran jentera peringkat PDM Lumat yang telah disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Hasni, apa yang penting kini adalah memulakan gerak kerja sebaik mungkin dan ia haruslah mempunyai kelainan.

BN hari ini mengumumkan Datuk Mohamad Alamin sebagai calon yang akan mewakili BN dalam PRK Kimanis.

Mohamad Alamin atau lebih dikenali dengan panggilan Moh merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan dan merupakan anak tempatan kawasan terbabit.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal. – UMNO ONLINE