Calon BN Sedia Kerjasama Semua Pihak Jayakan Kemenangan Rakyat

KIMANIS, 1 Jan – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin berkata beliau sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha menjayakan kemenangan untuk rakyat pada 18 Januari nanti.

Menurut beliau pemilihannya sebagai calon parti itu bukan semata-mata untuk kepentingan peribadi tetapi adalah untuk perjuangan rakyat terutama di kawasan berkenaan.

“Ini bukan hanya penting untuk diri saya sebagai calon tetapi adalah untuk perjuangan rakyat. Insya-Allah saya akan bagi jaminan bahawa seluruh jentera kita yang pelbagai masyarakat akan bantu kita dan mereka sudah tampil untuk bekerjasama dengan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman calon BN di Bilik Gerakan, di sini, hari ini.

Pengumuman calon dibuat oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau seterusnya menambah pengalaman yang ada sebelum ini akan digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat kelak.

“Saya juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan dan kenal rapat dengan pemimpin termasuk Datuk Seri Anifah Aman serta masyarakat pelbagai.

“Saya berterima kasih kepada beliau yang banyak memberikan nasihat sepanjang berada dibawah beliau dan seterusnya kita akan berusaha menjalinkan kerjasama dnegan mana-mana parti komponen sebagaimana yang diutarakan oleh pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Bung selaku Pengerusi UMNO Sabah yang telah banyak membantu dan memberi tunjuk ajar serta seluruh kepimpinan di Sabah ini,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.