Tahun 2020 Disambut Dengan Harapan Menipis, Baliklah Kepada Kerajaan Bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 31 Dis – “Kita menyambut kedatangan Tahun Baharu 2020 dengan perasaan bercampur dan harapan yang makin menipis untuk mengharung masa depan yang lebih terjamin di bawah kerajaan sekarang,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, pada tahun kegagalan Wawasan 2020 ini, tidak pernah rakyat merasa gusar dengan kos sara hidup yang makin terdesak dan kuasa membeli yang kian mengecil berikutan keadaan tidak menentu di pasaran.

“Tidak pernah dalam sejarah Malaysia Merdeka rakyatnya diperlakukan sebegini rupa oleh pemerintah berikutan segala penipuan serta janji yang hanya tinggal janji,” katanya dalam kenyataan sempena tahun baru 2020.

Bagaimanapun, katanya, kita perlu terus melangkah demi erti sebuah kehidupan dan survival sebuah perjuangan.

“Rakyatlah penentu masa depan dan membentuk kerajaan yang diyakini dapat membela serta memahami denyut nadi kehidupan mereka.

“Tidak ada sambutan untuk meraikan tahun baharu ini tetapi rakyat mesti menilai semula pilihan mereka.

“Baliklah kepada kerajaan bertanggungjawab dan prihatin yang pernah menjulang mereka. Selamat tahun baru,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.