Kenyataan Bercanggah: Siapa Bohong… MB Perak atau Kementerian Kewangan?

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Blok Pembangkang DUN Perak menuntut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal supaya menjelaskan sama ada Pulau Bebas Cukai (PBC) Pulau Pangkor akan melibatkan penjualan rokok dan minuman keras.

Ketuanya Datuk Saarani Mohamad berkata, penjelasan ini perlu kerana terdapat percanggahan di antara kenyataan YAB Menteri Besar itu dengan jawapan soalan lisan
di Dewan Negara baru-baru ini.

“Jika diperhatikan ucapan YAB Datuk Seri Ahmad Faizal di DUN Perak, beliau telah menegaskan tiada penjualan rokok dan minuman keras di PBC Pangkor.

“Bagaimanapun di Dewan Negara, ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh YB Senator Laksamana Pertama (B) Haji Mohamad Imran bin Abd Hamid pada 12 Disember lepas, Kementerian Kewangan telah membuat penetapan polisi pelaksanaan Pulau Pangkor sebagai PBC pada Januari 2019, semua barangan yang dibawa masuk adalah bebas cukai termasuk rokok dan minuman keras,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Persoalannya kata beliau, siapakah yang berbohong, Menteri Besar Perak atau Kementerian Kewangan dan mengapa terdapat percanggahan ini?

“Adakah ini cubaan untuk menipu serta mewujudkan kekeliruan di kalangan rakyat.

“Ketika Kerajaan terdahulu (BN) mencadangkan Pangkor sebagai PBC, rokok dan arak tidak dimasukkan dalam barangan bebas cukai.

“Majoriti penduduk Pangkor menyokong cadangan ini kerana sebahagian besar mereka adalah beragama Islam.”

Ujarnya, kenyataan serta jaminan YAB Menteri Besar juga mengesahkan pengecualian ini namun bagaimanapun kenyataan Kementerian Kewangan di Dewan Negara, membangkitkan kemarahan serta rasa tidak senang rakyat Perak.

“Percanggahan ini menunjukkan tiada penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri walaupun mereka datang dari Pakatan yang sama.

“Atau adakah ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan membuli Menteri Besar atau pencangahan antara parti komponen dalam PH.

“Mungkin rakan-rakan separti Menteri Kewangan dari Dap yang selama ini beriya-iya mahukan pengecualian cukai arak dan rokok di PBC Pangkor membatalkan keputusan Menteri Besar Perak.”

Hakikat ini, katanya, menunjukkan terdapat pertentangan prinsip sesama sendiri dalam Kerajaan hari ini.

“Bagaimanapun yang penting YAB Menteri Besar mesti menjelaskan kenapa beliau berbohong di dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.