PRK Kimanis Peluang Rakyat Pertikai Kredibiliti Pemimpin Yang Pandai Tabur Janji – Fadzlee

KIMANIS, 30 Dis – Pemangku Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Mohd Fadzlee Lee Abdullah berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis perlu dijadikan peluang kepada rakyat bagi mempertikaikan kredibiliti mereka yang selama ini hanya pandai menabur janji kepada rakyat.

Katanya, biarpun PRK ini tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan Negeri atau kerajaan Persekutuan tetapi ia adalah peluang terbaik kepada rakyat menghantar isyarat kepada Parti Warisan yang berkerajaan di Sabah.

“Pihak kerajaan Warisan akan mengambil kesempatan pada masa PRK ini untuk menabur janji dan memberikan apa-apa bantuan khususnya kepada pengundi sedangkan banyak lagi janji-janji lama yang mereka buat masih tak tertunai.

“Situasi di Kimanis ini hampir-hampir menyerupai dengan Tanjung Piai dan PRK sebelumnya apabila macam-macam bantuan tiba dari kerajaan yang diberikan kepada pengundi, tetapi … insya-Allah akhirnya pengundi akan kembali kepada Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi sekarang ini rakyat tahu bahawa BN lebih baik,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau yakin PRK Kimanis ini akan memberi satu kesan yang mendalam buat Warisan apatah lagi akan berdepan dengan calon UMNO mewakili BN.

“PRK ini akan memberi satu lonjakan kepada BN untuk terus maju ke depan dan bersedia dalam menghadapi PRU ke 15 yang kemungkinan akan diadakan lebih awal dari jadual sebenarnya.

“Kami yakin bahawa BN akan mampu untuk meraih kemenangan dalam PRK ini kerana rekod lampau BN sudah terbukti selain janji-janji PH dan Warisan di Sabah langsung tidak memberi erti,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.