Sorotan 2019: Suka Duka Rakyat Di Era Malaysia Baharu

TAHUN 2019 bakal melabuhkan tirainya, menjadi satu kebiasaan apabila menghampiri penghujung tahun kita akan bermuhasabah dan mengoreksi kembali detik dan peristiwa yang telah dilalui sepanjang tahun 2019 untuk dijadikan iktibar dan panduan menghadapi tahun 2020.

Apabila kita menyoroti peristiwa suka dan duka sepanjang tahun 2019, sudah pasti kestabilan ekonomi, politik, sosial, agama dan keharmonian antara perkara yang menjadi perhatian dan keutamaan rakyat. Laporan oleh Agensi Bangsa-bangsa Bersatu, berkaitan Indeks Kebahagiaan Dunia 2019 ‘World Happiness Index’, menunjukkan Malaysia jatuh ke tangga 80 tahun ini berbanding di tangga 35 pada tahun 2018 daripada 156 negara. Laporan EMIR Research sebuah badan penyelidik bebas juga mendapati rakyat Malaysia berada dalam kebimbangan yang maksimum. Berdasarkan indeks, kebimbangan tersebut berkisar tentang kos sara hidup, pekerjaan, ekonomi dan keselamatan. Kedua-dua laporan tersebut datang daripada agensi yang berautoriti, menunjukkan tahun 2019 sebagai tahun duka kepada rakyat khususnya golongan B40, M40 dan generasi muda.

Adakah benar ekonomi negara berada dalam keadaan terumbang-ambing dan tidak menentu sepanjang 2019? Dengan berlatar belakang ribuan pekerja yang diberhentikan sehinggalah kepada pasaran saham Bursa Malaysia yang jatuh 4.7% pada tahun ini dan merupakan pasaran saham tercorot di rantau Asia. Saya sependapat dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di dalam The Edge Weekly yang menggariskan tiga isu utama ketidakstabilan ekonomi negara iaitu pertama isu serahan kuasa,” Ketidakpastian dalam hal serahan kuasa menyebabkan ketidakpastian dalam pasaran, Orang yang dikatakan Perdana Menteri menanti, Anwar Ibrahim pun tak pasti”.

Isu kedua, terdapat banyak ketidaktentuan dasar. Contohnya, “penggantungan projek-projek prasarana besar, yang kemudian, selepas beberapa ketika, diteruskan semula.” Isu ketiga pula, katanya, proses membuat keputusan yang tidak jelas. Komuniti perniagaan keliru siapa yang membuat keputusan di peringkat kerajaan. Adakah Menteri hal-ehwal ekonomi, Menteri kewangan, Pejabat Perdana Menteri atau Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)?

Tiga isu yang diutarakan ini ialah kisah duka ekonomi bagi rakyat sepanjang tahun 2019, kesannya hutang negara bertambah, aset yang berkepentingan Melayu dan Bumiputera dijual sewenang-wenangnya dan rakyat terus ditaburkan janji demi janji, harapan demi harapan yang tidak berkesudahan.

Sepanjang 2019, kita juga menyaksikan banyak isu-isu sensitif yang berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan diremehkan dan penghinaan kepada Rasulullah SAW hinggakan ada seorang mufti yang menyifatkan realiti politik pada masa ini yang membiarkan umat Islam dibuli telah menyebabkan rakyat akur bahawa agama Islam berada dalam keadaan tidak begitu selamat di bawah pentadbiran kerajaan hari ini. Lebih malang lagi apabila ada dalam kalangan orang Islam sendiri yang tidak sensitif dengan penghinaan terhadap Islam dan Rasulullah SAW, bahkan merasakan tidak perlu untuk memberikan reaksi.

Rakyat juga dirundung kegusaran dengan dakwaan terdapat gerakan secara senyap untuk menghidupkan kembali ideologi Parti Komunis Malaya (PKM) di samping ingin memperjuangkan jasa parti itu terhadap negara ini. Abu mayat bekas pemimpin PKM, Chin Peng secara diam-diam dibawa pulang ke Malaysia dan ditaburkan di beberapa tempat di Perak. Kenapa isu yang sensitif ini dimainkan kembali? Adakah ini sebagai permulaan kepada menghidupkan kembali ideologi Komunis?

UMNO menyokong Perhimpunan Pejuang Negara Menentang Ideologi Komunisme yang diadakan pada 24 Disember lalu melibatkan gabungan 11 persatuan bekas dan pesara pegawai Polis Diraja Malaysia mendesak kerajaan melakukan siasatan ke atas penganjur dua majlis memperingati perjanjian Damai Hatyai ke-30 yang diadakan di Sepang dan Kajang baru-baru ini. Syabas kepada Persatuan Bekas Polis dan Pesara Pegawai Polis Diraja Malaysia atas ketegasan dan keperihatinan kepada isu ini.

Dahulu apabila tiba sahaja akhir tahun penjawat awam akan senyum mendapat perkhabaran gembira berbentuk bonus dan bantuan daripada Kerajaan BN. Bagaimana pula tahun ini, apakah bantuan dan ganjaran yang diperolehi mereka? Saya mendapat khabar berita tahun 2019 diakhiri dengan berita duka bagi penjawat awam. Saya melahirkan rasa empati dengan nasib yang menimpa mereka. Kerajaan bukan sahaja dilihat kurang mesra dengan penjawat awam bahkan sebanyak lapan jenis elaun penjawat awam akan dihapuskan kerajaan. Antaranya Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Khas Penolong Pemungut Hasil Tanah, Insentif Profisiensi Bahasa Inggeris, Bayaran Insentif Angkat Najis, Elaun Kritikal Doktor dan lain-lain.

Penamatan elaun itu dirujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 yang dikeluarkan pada 20 Disember 2019 lalu. Satu lagi elaun yang dimansuhkan, berkuatkuasa bagi lantikan baharu penjawat awam bermula pada 1 Januari 2020: Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK). Elaun ini bermula pada tahun 1992 diberi oleh kerajaan terdahulu khusus untuk penjawat dalam bidang kritikal seperti bidang perubatan, pergigian, kejuruteraan, undang-undang dan lain lain.

Jika disoroti ini adalah antara secebis kisah duka rakyat sepanjang tahun 2019. Di samping kisah duka, terdapat juga beberapa peristiwa bersejarah bagi rakyat, UMNO, BN dan Muafakat Nasional, antaranya;

• Peristiwa bersejarah pada 14 September 2019; termeterai Piagam Muafakat Nasional yang melakar suatu peradaban iaitu sejarah penyatuan di antara dua parti terbesar negara iaitu UMNO dan PAS. Peristiwa ini akan menjadi naratif politik baharu tanah air bagi membina dan mengangkat kembali Malaysia di mata dunia. Himpunan demi himpunan yang bertemakan Muafakat Nasional akan terus disemarakkan lagi pada tahun 2020 nanti.

• Kemenangan UMNO, BN dan Muafakat Nasional di pilihan raya kecil; sepanjang tahun 2019 telah berlaku lima Pilihan Raya Kecil (PRK). Alhamdulillah UMNO, BN dan Muafakat Nasional telah memenangi empat daripada lima PRK tersebut. Ini membuktikan tahap penerimaan dan sokongan rakyat kepada UMNO, BN dan Muafakat Nasional semakin meningkat. Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang diadakan pada 26 Januari 2019 merupakan pilihan raya kecil yang pertama pada tahun 2019 dan kelima selepas Pilihan Raya Umum ke-14. Calon BN, Ramli Mohd Noor mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan memperolehi majoriti sebanyak 3,238 undi dan mencipta sejarah sebagai calon tunggal Orang Asli ke Parlimen.

Pilihan Raya Kecil Semenyih telah diadakan pada 2 Mac 2019 menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi memenangi kerusi ADUN dengan majoriti sebanyak 1,914 undi. Pilihan Raya Kecil Rantau merupakan pilihan raya kecil yang ketiga tahun 2019 dan ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 telah diadakan pada 13 April 2019. Calon Barisan Nasional (BN), Dato Seri Mohamad Hasan sekali lagi memenangi dan mengekalkan kerusi ADUN itu dengan memperolehi majoriti sebanyak 4,510 undi.

Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai merupakan PRK terakhir bagi tahun 2019 dan PRK yang kesembilan selepas PRU-14. PRK Tanjung Piai yang telah diadakan pada 16 November 2019 telah menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berjaya memenangi kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti besar sebanyak 15,086 undi. Kemenangan di Tanjung Piai menjadi detik yang bersejarah kepada UMNO, BN dan PAS kerana di sinilah buat pertama kali Muafakat Nasional diuji.

Di sebalik kisah dan peristiwa yang mengembirakan itu, pastinya proses 3R (Rebranding- Repositioning dan Reenginering) perlu kita lakukan secara konsisten dalam UMNO. Tambahan pula tahun 2020 dijangkakan senario politiknya lebih mencabar. Kita kurangkan “Politik Bomba” ada isu baharu bertindak tetapi kita semarakkan “Politik Prihatin” apa sahaja yang merugikan rakyat dan negara tanpa tunggu dan lihat kita pertahanankan serta perjuangkan melalui saluran yang betul berlandaskan Perlembagaan negara.

Kita suburkan “Politik Konsensus” antara UMNO, BN dan Muafakat Nasional. Sepertimana pesanan Al-Mawardi (975-1059) dalam bukunya al-Ahkam al-Sultaniyyah enam sendi utama yang mesti wujud dalam sebuah pemerintahan atau kesepakatan antaranya keamanan yang merata dan mengelak konflik yang berpanjangan akan menjadi penghalang kepada kejayaan. Kita jadikan suka dan duka sepanjang tahun 2019 sebagai pembakar dan ibrah bagi mengharungi tahun 2020 yang tidak dapat diduga rencah dan cabarannya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.