Mansuh Elaun Kritikal… Penjawat Awam Terus Ditekan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Pakatan Harapan (PH) cukup-cukuplah tunjukkan sikap membenci penjawat awam yang sentiasa dituduh tidak setia.

Katanya, hentikanlah tindakan menekan dan menindas penjawat awam dan kembalikanlah semula hak penjawat awam.

“Kerajaan patut lebih matang dan bijak daripada melakukan keputusan melibatkan periuk nasi rakyat. Sesudah pelbagai nasib malang menimpa penjawat awam – diugut, dikurangkan saiz perkhidmatan, dituduh pensabotaj, bonus dikurangkan, skim pencen dihapuskan, kini elaun kritikal lantikan baru pula mahu dihentikan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian berhubung pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 20 Disember, pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) penjawat awam yang melibatkan sekurang-kurangnya lebih 33 skim perkhidmatan seperti jurutera, jururawat, pegawai perubatan dan profesional lain mulai lantikan 2020 yang mengejutkan banyak pihak.

“Melalui laporan media sosial yang diterima, ramai penjawat awam menyuarakan kegelisahan tentang pemansuhan elaun tersebut.

“Ini adalah satu episod malang penjawat awam menyambut kedatangan tahun baru 2020.

“Kerajaan sepatutnya memberi penekanan kepada pemacuan ekonomi dan tadbir urus yang baik, serta strategi peningkatan ekonomi rakyat, juga solusi kepada kekurangan penjawat awam terutama sekali institusi perubatan dan bukan menyekat, memansuh, menghapuskan sebarang berkaitan elaun penjawat awam.”

Lebih-lebih lagi katanya, di waktu kos sara hidup terus meningkat, harga petrol akan dinaikkan 1-2 sen setiap minggu, pengenalan berbagai2 cukai yang semuanya membebankan, sepatutnya kerajaan mengambil tindakan mengurangkan tekanan dan bebanan kepada rakyat khususnya penjawat awam.

“Saya khuatir prestasi kerja penjawat awam pelantikan baru akan terganggu, selain motivasi mereka akan berkurangan. Tidak mustahil para profesional akan beralih arah ke sektor swasta atau menceburi pekerjaan lain yang lebih memberi pulangan disebabkan sindrom ‘overworked and unpaid’.

“Saya mendesak agar keputusan tidak wajar ini dibincang semula oleh kerajaan dalam sidang kabinet pertama pada tahun 2020,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.