Pelik Menteri-menteri PH… Seorang Demi Seorang Dakwa Disabotaj, Berlakon

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa pelik dengan sikap para menteri Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pemotongan elaun kritikal perkhidmatan awam.

Katanya, selepas rakyat di semua peringkat marah berkaitan isu tersebut, seorang demi seorang pemimpin PH mendakwa mereka disabotaj.

“Lepas rakyat di semua peringkat marah berkenaan isu pemotongan elaun kritikal para doktor muda, farmasi dan jururawat muda, seorang demi seorang menteri PH mendakwa mereka disabotaj.

“Syed Saddiq macam biasa siap berlakon depan video nak pendekkan cuti tahunan demi mereka yang dizalimi. Peliknya apakah menteri-menteri kabinet ni tak ada ‘whatsapp group’ atau tak berbincang antara satu sama lain ke?

“Ternanti-nanti juga apa kata dan komen PM ke-7 dan bakal PM ke-8,”katanya sebagaimana yang dilontarkan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Menerusi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Jumaat lalu, Kerajaan akan menamatkan pemberian bayaran insentif perkhidmatan kritikal kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan.

Sehubungan itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tidak bersetuju membuat kenyataan menerusi rakaman video di Twitter dengan menganggap sebagai permulaan, beliau akan memotong pendek cuti tahunan, dan akan memulangkan setiap sen duit yang diterima sebagai ‘holiday’ elaun.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad pula mengulas penamatan elaun itu pada ciapannya di Twitter dengan keluhan: “Aduh!” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.