Kerajaan PH Tidak Diyakini, Rakyat Jadi Mangsa – Dr Shamsul Anuar


KUALA LUMPUR, 25 Dis – Sudah penghujung 2019 dan diambang 2020, apa nasib rakyat di tahun 2020?

Persoalan tersebut dilontarkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berikutan prestasi Pakatan Harapan (PH) semenjak berkerajaan.

Katanya, biarpun ulasan positif dibuat oleh Kerajaan PH, realitinya ekonomi Malaysia terus berada dalam situasi tidak memberangsangkan.

“Kredibiliti beberapa institusi penting dalam negara diragui rakyat dan pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau, hari ini.

Jelasnya, Bursa Malaysia tetap rendah kini 1604.23 mata berbanding 1895.18 mata sebelum 9 Mei 2018 sementara Ringgit Malaysia terus tidak stabil hanya RM4.19 berbanding RM3.85 sebelum PRU14.

“Pelaburan langsung asing ke negara ini begitu kurang. Pelbagai pihak tiada keyakinan kepada Malaysia. Dalilnya adalah kegagalan KL Summit 2019.

“Kesannya berlaku kenaikan kos sara hidup, peluang pekerjaan berkurangan, ramai peniaga mengeluh. Ini hakikat yang Kerajaan PH tidak boleh menafikannya.”

Tegasnya, semua ini adalah gambaran kegagalan Lim Guan Eng (LGE) selaku Menteri Kewangan.

“Kemudian, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia ( SPRM ), Institusi Peguam Negara, Institusi Kehakiman, Polis Di Raja Malaysia ( PDRM ) yang penting dalam negara diragui kredibiliti oleh rakyat.

“Semua ini akibat pendekatan mengendalikan banyak kes yang dilihat tidak profesional dan dikawal.

“Keadaan ini mengusarkan pelbagai pihak, rakyat dan juga pelabur luar serta ahli perniagaan.”

Bidas beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, sudahlah apa yang dijanjikan dalam Manifesto PRU14 Kerajaan PH untuk melakukan perubahan tidak berlaku dan semua institusi ini akhirnya menjadi kritikan rakyat secara terbuka.

“Keadaan ini sangat tidak baik kepada negara. Kerajaan PH tidak boleh memberi alasan mereka baru mengambil alih tampuk pemerintahan kerana sudah lebih 18 bulan membentuk kerajaan.

“Yang pasti pimpinan Kerajaan PH banyak berpolitik. Krisis kepimpinan berlaku dalam kerajaan. Dasar dan hala tuju tidak jelas.

“Mereka terperangkap dengan janji Manifesto PRU14 yang digubal tanpa kajian. Banyak tindakan dibuat menekan rakyat. Lebih parah Kerajaan sukar mewujudkan keyakinan pelbagai pihak kepadanya. Akhirnya rakyat menjadi mangsa,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.