PH Tidak Bijak Mentadbir… Rakyat Susah Akhirnya – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Kalau tidak bijak mentadbir inilah jadinya.

Demikian bidas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Lihatlah begitu jauh daripada yang dijanjikan. Harapan mereka yang mengundi PH untuk memperolehi yang lebih baik dari Kerajaan BN pada PRU14 juga lebur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau, kini ramai ingin kembali ke zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pelbagai perkara berkaitan Kakitangan Awam dibuat perubahan. Perubahan sepatutnya kepada yang lebih baik. Namun yang sebaliknya berlaku. Mungkin inilah hadiah tahun baru dari Kerajaan PH.”

Jelasnya, mulai tahun 2020 tiada lagi jawatan berpencen iaitu bagi jawatan kontrak juga sudah tiada elaun dan mulai Januari 2020, 33 skim Perkhidmatan Kritikal penjawat awam tiada lagi elaun, kerana akan dimansuhkan.

“Elaun Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) yang bermula pada tahun 1992, diberi khusus untuk penjawat dalam bidang kritikal seperti bidang perubatan, pergigian, kejuruteraan, undang-undang dan lain lain turut akan dimansuhkan atas alasan jawatan-jawatan kritikal ini sudah tidak lagi menepati ciri-ciri asal elaun iaitu untuk menambah kekurangan tenaga kerja dalam bidang tersebut.

“Apakah dengan langkah ini bermakna tiada lagi keperluan bagi kerajaan mengambil pensyarah perubatan, doktor atau jururawat yang baru untuk berkhidmat di klinik dan hospital kerajaan? Ini membimbangkan rakyat.”

Katanya kerajaan PH mesti fikirkan golongan miskin dan memerlukan dalam apa juga perubahan yang hendak dilakukan.

“Cuba kita bayangkan, kerajaan PH benarkan klinik swasta menaikkan caj berganda sebaliknya berlaku dalam perkhidmatan kritikal, golongan ini tidak diperlukan malah elaun golongan ini juga turut dimansuhkan.

“Bagaimana nanti jika klinik dan hospital kerajaan kekurangan doktor atau jururawat? Pastinya ramai terpaksa ke hospital atau klinik swasta. Kepada mereka yang berada tiada masalah tetapi yang kurang mampu?

“Inilah masalahnya apabila Kerajaan PH tiada keupayaan mengurus kewangan dan menjana pendapatan negara.

“Bila Kerajaan PH kekurangan sumber kewangan, maka banyak perbelanjaan terpaksa dipotong atau dijimatkan. Kemudian yang rugi dan menerima kesannya adalah rakyat,” bidas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.