Dong Zong Berhenti Bersikap Rasis – Puteri UMNO


KUALA LUMPUR, 24 Dis – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menggesa Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk berhenti dari bersikap rasis.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata setiap kali pertubuhan ini buka mulut, pasti akan menyakitkan hati ramai pihak, bukan sahaja orang-orang Melayu tetapi kaum-kaum yang lain turut tidak bersetuju dengan mereka.

“Jika hormati teguran Perdana Menteri kenapa persidangan anti tulisan Jawi masih mahu diteruskan? Adakah mereka jadi lebih berani apabila Dap sudah berkuasa dalam kerajaan sekarang?” soal beliau dalam satu kenyataan pendek menerusi Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengingatkan Dong Zong bahawa penganjuran kongres membantah pengenalan pembelajaran jawi di sekolah vernakular boleh mencetuskan kekacauan dan dibimbangi akan menyebabkan pihak tertentu bertindak balas.

Sebelum itu Dong Zong dilapor menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres berkenaan, bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran jawi di sekolah vernakular.

Kongres itu dijadual berlangsung di Kolej New Era di Kajang pada 28 Disember ini, dengan matlamat kononnya untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.

Isu pembelajaran jawi sebelum ini mencetuskan perbalahan pelbagai pihak sehingga mengheret ke kancah perkauman. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.