Kenapa PH Cari Musuh Mahu bertelingkah dengan US Pula? – Dr Shamsul Anuar


KUALA LUMPUR, 23 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah melihat pendekatan diplomatik Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bermusuh dengan negara luar sangat dikesali.

Soalnya, kenapa cari musuh mahu bertelingkah dengan Amerika Syarikat pula?

“Malah mewujudkan situasi begini akan menyusahkan negara, apatah lagi pelbagai cabaran sedang dihadapi negara ketika ini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan segelintir negara besar yang membuat keputusan unilateral mengenakan penalti atau sekatan dengan berkata “Jika saya boleh, saya nak kenakan sekatan dagangan (sanction) ke atas Trump (Presiden Amerika Syarikat Donald Trump), tetapi saya tidak boleh.”

“Realitinya, Malaysia tidak akan memperolehi keuntungan bila bermusuh dengan negara lain. Tiada keperluan pimpinan Kerajaan PH menunjukkan keegoan peribadi kerana yang rugi ialah rakyat. Apatah lagi banyak kepentingan negara di Arab Saudi dan India serta negara lain. Kepentingan rakyat dan negara perlu dijaga.”

Katanya, Perdana Menteri tidak boleh lagi menganggap beliau mampu menjadi jaguh membela kepentingan negara sebagaimana 22 tahun menjadi Perdana Menteri dahulu kerana situasi sudah berbeza.

“Kebanyakan negara mempunyai kepentingan masing-masing. Sebab itu hanya tiga ketua negara yang hadir daripada 56 negara dijemput. Ini patut dijadikan pengajaran oleh Kerajaan PH.

“Nasihat saya kepada Menteri Luar, berkomunikasilah dengan cara yang baik dengan negara luar. Imej dan kepentingan negara perlu dijaga. Kalau ada isu selesaikan dengan bijaksana,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO ONLINE