Isu Tadahan Air Kuala Terla: Tindakan Berlandaskan ‘Rule of Law’, Demi Kelestarian Alam Dan Rakyat


KUANTAN, 23 Dis – Susulan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak berkaitan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan ke atas penerokaan secara haram di kawasan tadahan air Kuala Terla berkait Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom Daerah Cameron highlands, Kerajaan Negeri Pahang menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah berlandaskan kepentingan umum bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat sentiasa dipelihara.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memastikan segala tindakan penguatkuasaan yang telah dan akan diambil mematuhi segala perundangan yang berkuatkuasa serta berlandaskan ‘rule of law’.

“Buktinya, tindakan meroboh yang telah dilaksanakan di Sungai Ichat sebelum ini telah dihentikan apabila Peneroka-Peneroka telah memperolehi perintah untuk injunksi interim bertarikh 11 Mac 2019 daripada Mahkamah Tinggi Kuantan.

“Walaubagaimanapun, Plaintif-Plaintif dalam saman pemula ini telah menarik balik permohonan mereka di mahkamah dan memberhentikan tindakan saman tersebut pada 30 September 2019,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Sallehuddin, bagi memastikan kawasan tadahan air Kuala Terla berkait Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom Daerah Cameron Highlands itu terus terpelihara, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pada 13 Mac 2019 telah meluluskan pewartaan kawasan terbabit seluas 121.12 hektar (300 ekar) sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat.

“Aktiviti kawalan termasuk penjagaan dan penanaman pokok hutan bagi fasa satu telah dilaksanakan oleh Pejabat Perhutanan Negeri Pahang sebaik sahaja tindakan penguatkuasaan selesai dijalankan.

“Kerajaan Negeri Pahang juga komited untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan ini dan tidak akan berkompromi demi memastikan kelestarian serta kesejahteraan rakyat di daerah Cameron Highlands dapat direalisasikan,” tambahnya.

Berikut merupakan kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkaitan Isu Tindakan Penguatkuasaan Yang Dilaksanakan Di Kawasan Tadahan Air Kuala Terla Berkait Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom Daerah Cameron Highlands.

SUSULAN beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak berkaitan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan ke atas penerokaan secara haram di kawasan tadahan air Kuala Terla berkait Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom Daerah Cameron highlands, Kerajaan Negeri Pahang menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah berlandaskan kepentingan umum bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat sentiasa dipelihara.

Bagi kawasan ini sejumlah 11 penerokaan haram terlibat bagi peringkat pertama dan 37 penerokaan bagi peringkat kedua. Keseluruhan kawasan terlibat adalah 121 hektar (300 ekar) di mana 24 hektar (60 ekar) bagi peringkat pertama dan 97 hektar (240 ekar) bagi peringkat kedua. Tindakan diambil di bawah peruntukan Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara 1965 kerana menduduki tanah kerajaan tanpa izin sejak tahun 2009.

Notis mengosongkan telah dikeluarkan sejak 19 Ogos 2009 tetapi aktiviti penerokaan tanpa izin masih diteruskan selepas itu. Notis selanjutnya bagi peringkat pertama telah dikeluarkan pada 18 Februari 2019 dan tindakan penguatkuasaan peringkat pertama melibatkan 11 kawasan penerokaan telah dilaksanakan bermula 25 Februari sehingga 19 Mac 2019. Notis pengosongan peringkat kedua kepada baki 37 penerokaan tanpa izin telah dikeluarkan pada 14 mac 2019.

Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memastikan segala tindakan penguatkuasaan yang telah dan akan diambil mematuhi segala perundangan yang berkuatkuasa serta berlandaskan ‘rule of law’.

Buktinya, tindakan meroboh yang telah dilaksanakan di Sungai Ichat sebelum ini telah dihentikan apabila Peneroka-Peneroka telah memperolehi perintah untuk injunksi interim bertarikh 11 Mac 2019 daripada Mahkamah Tinggi Kuantan. Walaubagaimanapun, Plaintif-Plaintif dalam saman pemula ini telah menarik balik permohonan mereka di mahkamah dan memberhentikan tindakan saman tersebut pada 30 September 2019.

Sejajar dengan keberangkatan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke Daerah Cameron Highlands pada 7 September 2019, Baginda turut menitahkan agar semua pihak menghentikan segera pencerobohan di kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Telom.

Keprihatinan yang tinggi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong terhadap isu alam sekitar di Cameron Highlands terutama di Sungai Ichat tidak dapat dinafikan apabila Baginda Tuanku berkenan mencemar duli meninjau tapak pencerobohan Sungai Ichat di Kuala Terla pada tarikh yang sama.

Susulan dengan itu juga, Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 14 Oktober 2019 memutuskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Dan Pasukan Gerak Am PDRM (PGA) diatur gerak dan ditempatkan di daerah Cameron Highlands bagi membantu usaha mengekang aktiviti pencerobohan serta menunjukkan keberadaan (show of presence) anggota keselamatan.

Selanjutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan YAB Menteri Besar Pahang pada 9 Disember 2019 telah bersetuju agar Ops Lestari 2 diteruskan dan penempatan pasukan keselamatan ATM dan PGA ke daerah Cameron Highlands bermula 16 Disember 2019.

Bagi memastikan kawasan tadahan air Kuala Terla berkait Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom Daerah Cameron Highlands ini terus terpelihara, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pada 13 Mac 2019 telah meluluskan pewartaan kawasan terbabit seluas 121.12 hektar (300 ekar) sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat.

Aktiviti kawalan termasuk penjagaan dan penanaman pokok hutan bagi fasa satu telah dilaksanakan oleh Pejabat Perhutanan Negeri Pahang sebaik sahaja tindakan penguatkuasaan selesai dijalankan.

Kerajaan Negeri Pahang juga komited untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan ini dan tidak akan berkompromi demi memastikan kelestarian serta kesejahteraan rakyat di daerah Cameron Highlands dapat di realisasikan.

Loji air Kuala Terla adalah Loji air yang terpenting dan terbesar menyalurkan lebih 70% kepada keperluan air bersih di Cameron Highlands (meibatkan 8,332 akaun). Loji ini mempunyai ‘design flow capacity’ air mentah sebanyak 855m3/jam.

Tetapi buat masa ini, Sungai Terla hanya mampu menyediakan 580m3/jam dan kadangkala berkurangan. Aliran air mentah kini sudah tidak mampu menampung keperluan semasa dan pembangunan akan datang di Cameron Highlands buat masa terdekat ini.

Justeru, untuk meningkatkan lagi jumlah aliran air mentah,maka air mentah dari Sungai Ichat amat diperlukan.

Berdasarkan pemantauan oleh Perbadanan Air Pahang (PAIP) kualiti air di Sungai Ichat telah mula pulih selepas tindakan penguatkuasaan diambil dan kerja-kerja pembersihan dilakukan hampir setiap minggu oleh pihak PAIP.

Berdasarkan perancangan semasa, pihak PAIP bercadang untuk melakukan pengalihan Sungai Ichat untuk bercantum dengan Sungai Terla bermula suku tahun kedua tahun 2020 sebagai mana rekabentuk asal pembinaan loji air Kuala Terla.

Tindakan ini diharapkan akan dapat meningkatkan dan menstabilkan aliran air mentah untuk kegunaan di loji air Kuala Terla. – UMNO ONLINE