Kerja Kuat Pastikan Kemenangan, BN Bawa Kempen Muhibah – Annuar


KIMANIS, 21 Dis – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa menyeru jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) berusaha keras dan mengambil semangat kejayaan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai untuk memastikan kemenangan PRK Kimanis.

Pesannya juga, semua jentera perlu berkerja sebagai satu pasukan dan bersepadu di bawah Pengarah PRK Kimanis, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Tambah Annuar, program serta kempen di PRK Kimanis adalah mesra dan menepati citarasa masyarakat setempat.

“Ia juga sebagai mendokong semangat BN untuk memastikan proses demokrasi berjalan lancar.

“Di samping itu, ia juga untuk memastikan rakan dan sahabat yang telah beralih haluan harus diajak bersama demi semangat persahabatan yang terjalin sejak dahulu lagi,” ujarnya dalam program pemimpin bersama rakyat di Dewan Kesenian Islam, Membakut, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Bung yang juga Pengerusi UMNO Sabah serta barisan kepimpinan peringkat negeri dan bahagian.

Ulas Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, sejajar dengan kempen Muhibah dan harmoni, parti akan mengadakan majlis perayaan sempena Krismas untuk meraikan rakyat yang merayakannya.

“Juga akan diadakan kenduri Muhibah untuk tempat-tempat yang tidak menyambut Krismas bagi menjalinkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.

“Kempen Muhibah adalah kesatuan dan muafakat agar wujud suasana cantik dengan semangat BN,” katanya lagi.

Selain itu, Annuar juga berharap jentera Jalinan Rakyat sebagai barisan hadapan untuk mencari pengundi bagi menyokong BN seperti siri-siri PRK sebelum ini yang bekerja siang dan malam.

Manakala bagi Bung, kemenangan di Kimanis amat penting bagi menunjukkan rakyat Sabah juga menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti ditunjukkan oleh rakyat Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

“Jentera hendaklah memaparkan bagaimana rakyat sekarang semakin menderita di bawah kerajaan yang suka berjanji tetapi tidak menunaikan janji.

“Semua ketua Pusat Daerah Mengundo (PDM) perlu bekerja kuat dan jangan lalai dalam menjalankan tugas sehingga keputusan diumumkan, dimenangi oleh BN,” tegas Ahli Parlimen Kinabatangan itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.