SPR Cadang Mansuh PRK, Takut PH Kalah? Soal Zahida
KUALA LUMPUR, 20 Dis – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan mempersoalkan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu menghapuskan pilihan raya kecil (PRK) atas nama reformasi sistem pilihan raya negara ini.
Bidasnya, adakah disebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selalu kalah menjadikan mereka penakut untuk bertanding dalam PRK lagi.
“PH nak nafikan hak rakyat memilih secara demokrasi?
“Mungkinkah penambahbaikannya akan diadakan PRK bila kekosongan kerusi diwakili pembangkang sahaja?
“Kalau yang dah lompat parti tu kerusi dia perlu dikosongkan dan ganti dengan wakil dari parti yang sama tak? Tanyanya lagi dalam satu hantaran di Facebook.
Ulas Zahida, sepanjang tahun 2019 Barisan Nasional (BN) telah memenangi empat dari lima PRK (Parlimen Sandakan BN tidak bertanding).
“Insya-Allah akan menang besar di (Parlimen) Kimanis pula Januari 2020 nanti,” katanya.
Hari ini, sebuah portal melaporkan Pengerusi jawatankuasa Ab Rashid Ab Rahman berkata mengikut sistem baharu yang dicadangkan, kekosongan kerusi Parlimen akan diisi secara automatik oleh parti politik penyandang kerana semasa pilihan raya rakyat akan memilih parti, bukan lagi calon individu.
Tambah Zahida, sekarang rakyat tidak perlukan pemansuhan PRK tetapi apa yang rakyat mahukan adalah membubarkan Parlimen dengan segera dan serahkan semula kuasa memilih kepada rakyat.
“Ada berani? Cabarnya. – UMNO ONLINE