Rahmatan Lil Alamin Kerajaan PH Syok Sendiri? – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan kenapa Perdana Menteri selaku pimpinan tertinggi dalam anggota pentadbiran tidak mengangkat Rahmatan Lil Alamin sebagaimana yang selalu disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Malah katanya, Perdana Menteri tidak pula mempromosi konsep Rahmatan Lil Alamin di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur kelmarin.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menggariskan kejayaan mengangkat gagasan Rahmatan Lil Alamin menjadi dasar pentadbiran negara sebagai pencapaian paling cemerlang tahun ini.

“Itu pandangan YB Menteri selaku pembuat dasar, bagaimana agaknya pandangan kita sebagai rakyat yang menerimanya?

“Kenapa Perdana Menteri selaku pimpinan tertinggi dalam Anggota Pentadbiran tidak pula menyebut perkara sama? Malah tidak pula mempromosi konsep Rahmatan Lil Alamin di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur kelmarin atau ia hanya dasar syok sendiri peringkat Menteri YB Mujahid?” soalnya lagi menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, dilaporkan Dr Mujahid telah menggariskan kejayaan mengangkat gagasan Rahmatan Lil Alamin menjadi dasar pentadbiran negara sebagai pencapaian paling cemerlang tahun ini.

Menurutnya, dasar pentadbiran Islam yang baharu itu menerusi pendekatan Rahmah yang sebelumnya dikritik pihak tertentu telah melalui proses demokrasi pentadbiran yang tulen sebelum diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Oktober yang lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.