Kerajaan Pahang Siap Siaga Berdepan Bencana Banjir

KUANTAN, 19 Dis – Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang telah bersiap siaga dengan menyediakan 118 Pangkalan Hadapan dan 661 Pusat Pemindahan Sementara di seluruh daerah bagi menghadapi bencana banjir di Pahang bagi Tahun 2019.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan bahawa Pangkalan Hadapan ini diwujudkan sebagai tempat penyimpanan bekalan makanan dan keperluan mangsa bencana.

“Pangkalan Hadapan yang digunakan hanya di tempat yang terputus perhubungan dan terputus bekalan makanan sahaja.

“Saya doakan agar segala urusan bantuan kepada mangsa bencana banjir berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan pendek berkaitan hal tersebut.

Semalam, Angkatan Pertahanan Awam Pahang menerusi kenyataan medianya melaporkan paras air Sungai Lepar di Kuantan kini melebihi paras amaran manakala enam lagi sungai berada pada tahap waspada.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan jangkaan hujan lebat berlarutan di seluruh Kelantan dan Terengganu serta beberapa daerah di Pahang dan Sabah untuk dua hari termasuk hari ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.