Dividen ASB Bukti PH Gagal Mentadbir, Memalukan – Dr Najmil


KUALA LUMPUR, 19 Dis – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata prestasi paling buruk pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah semenjak ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, setelah setahun mengkritik pentadbiran PH dengan konsisten serta bukti-bukti menunjukkan keadaan ekonomi negara semakin lemah namun pemimpin PH sering menafikannya, malah, ada yang mengatakan negara kini menjadi tumpuan pelabur dan mendakwan ekonomi negara semakin kukuh dibawah pemerintahan PH.

“Hari ini terbukti pendapatan ASB sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit adalah terendah dalam sejarah dan ianya berpunca daripada kegagalan PH mentadbir ekonomi.

“Negara kita semakin ketinggalan jauh dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand. Ketika negara jiran sibuk membangunkan ekonomi, kerajaan kita masih lagi dengan agenda fitnah, politik seks dan politik balas dendam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu menjelaskan negara ini bukannya tumpuan pelabur asing kerana keadaan poltik negara yang tidak stabil, ekonomi yang semakin meruncing, hutang negara semakin bertambah malah kerajaan juga ada membuat pinjaman terhadap negara luar.

“Inilah kerajaan yang kita ada hari ini… memalukan,” tegasnya.

Semalam, Pengerusi PNB Tan Sri Dr Zeti Akhtar mengumumkan, pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.