ICAPP Promosi Negeri Terengganu Sebagai Tempat Pelancongan – Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU, 14 Dis, -Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan The International Conference of Asian Political Parties (ICAPP), iaitu satu badan organisasi yang terdiri daripada pelbagai parti politik yang berasal dari pelbagai negara berbeza yang berada di kawasan Asia yang bersidang di sini sebagai satu platform untuk mempromosi negeri berkenaan sebagai destinasi pelancongan.

Katanya ini selaras fungsi  ia ditubuhkan  untuk menjana kerjasama serta persahabatan di antara negara-negara di asia.

Justeru jelas beliau ia turut berfungsi sebagai salah satu medium untuk mempromosikan industri untuk negara-negara di asia, khususnya bidang pelancongan.

“Persidangan-persidangan sebelum ini telah berlangsung di beberapa buah negara seperti Manila (2000), Bangkok (2002), Beijing (2004), Seoul (2006), Astana (2009), Phnom Penh (2010), Baku (2012), Colombo (2014) dan Kuala Lumpur (2016), di mana ia telah membawa kepada pengumpulan serta pemuafakatan idea dari pelbagai parti politik dari pelbagai negara.

“Pada kali ini, persidangan ICAPP diadakan buat julung kalinya di Terengganu. Bertempat di Marina Duyong, Pulau Duyong, persidangan ini bakal berlangsung bermula 13 Dis hingga 16 Dis. Sebanyak 25 buah negara setakat ini akan terlibat dalam persidangan dan ia bakal membawa satu imej yang baik serta besar kepada negeri Terengganu,” katanya semasa sidang media di Duyong Marina And Resort di sini, Jumaat malam.

Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang menjelaskan persidangan ini adalah bertujuan untuk mempromosikan negeri Terengganu kepada deligasi-deligasi antarabangsa, di mana ia bakal membawa promosi pelancongan negeri ini kepada peringkat yang lebih tinggi dan berbeza daripada sebelumnya.

“Fungsi parti politik juga terhadap bidang pelancongan negara serta kelangsungan bidang tersebut selain peluang pekerjaan serta perihal sumber manusia dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

“Ini termasuk juga sokongan terhadap teknologi Smart Inter-City serta perkaitan dengan bidang pelancongan negara, dan integrasi serta keamanan antara negara-negara,” ujarnya.

Oleh itu jelas beliau Kerajaan Negeri percaya dan yakin dengan penganjuran persidangan ICAPP ia bakal membawa pelbagai impak positif serta titik tolak yang baru kepada industri pelancongan negeri Terengganu di mana hasilnya bakal dirasai serta dinikmati oleh rakyat Terengganu.

“Antara impak yang bakal diterima oleh negeri Terengganu melalui persidangan ini adalah promosi untuk bidang pelancongan, peluang pelaburan serta promosi untuk ekonomi negeri dan juga promosi kepada budaya dan kraftangan negeri Terengganu,” katanya.

Antara tetamu kehormat yang hadir pada kali ini adalah Pengerusi ICAPP TOPIC, Datuk Seri Shahidan Kassim, Naib Pengerusi dan Special Rapporteur of the Standing Committee ICAPP, Mushahid Hussain Sayed, Secretary General, Park Ro-Byug dan delkegasi-delegasi luar negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.