PAU 2019: Antara ‘Realiti’ Dan ‘Fantasi’


REALITINYA adalah Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU 2019) yang berlangsung selama empat hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula pada 4 Disember 2019 lalu telahpun melabuhkan tirainya.

Apa yang cukup penting, perhimpunan yang dihadiri oleh kira-kira 2,760 orang perwakilan itu berlangsung meriah dengan turut dihadiri oleh penyokong UMNO dari seluruh negara.

Sepanjang empat hari perhimpunan itu berlangsung, PWTC sesak dengan ahli dan penyokong UMNO yang mana semuanya membulatkan tekad demi mengukuhkan kembali parti keramat orang Melayu itu.

Itulah ‘REALITI’ dan bukan ‘FANTASI’.

Biarpun PAU kali ini tidak sehebat ketika sewaktu UMNO berkuasa sebelum ini, namun ‘REALITI’nya perhimpunan berkenaan berlansung dalam suasana yang cukup aman, begitu harmoni dan penuh dengan integriti.

‘REALITI’nya lagi, PAU 2019 menyaksikan penyatuan orang Melayu dan Islam menerusi Muafakat Nasional (MN).

Saya yakin dan percaya, MN akan menjadi naratif politik baharu ‘a new political narrative’ dan gabungan yang bukan ‘biasa-biasa’.

‘REALITI’nya juga, saya yakin dan percaya MN akan membentuk kuasa politik baharu yang seiring dengan kehendak politik abad ke-21.

Banyak lagi ‘REALITI’ yang berlaku sepanjang PAU 2019 berlangsung termasuk ucapan setiap perwakilan yang keseluruhannya lebih memberikan tumpuan kepada aspek pemulihan parti daripada mengkritik kerajaan sedia ada.

‘REALITI’ yang turut berlaku adalah UMNO meminda fasal 3 perlembagaan parti apabila klausa agama (Islam) diletakkan di hadapan, dan diubah daripada “bangsa, agama dan negara” kepada “agama, bangsa dan negara”.

Itulah ‘REALITI’ yang mana UMNO kini perlu melakukan perubahan demi memastikan agama, bangsa dan negara ini terus terpelihara.

Adakah kini masa untuk UMNO ber’FANTASI’?

Lupakan soal ‘FANTASI’, kerana kini bukan lagi masa untuk UMNO ber’FANTASI’. Jadikan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai pengajaran yang cukup bermakna kepada parti keramat ini.

Laksana perubahan secara total berlandaskan politik baharu masa kini kerana itu ‘REALITI’ yang rakyat khususnya orang Melayu inginkan.

Biarlah pihak lain di luar sana dengan kisah si Kitul dan Raja Mendeliarnya, kisah mahu menjadi Perdana Menteri atau apapun sahaja kisah mereka, itu tidak penting kepada UMNO.

Apa yang penting dan merupakan ‘REALITI’ kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO adalah kita perlu terus merapatkan saf demi perpaduan dan pengukuhan parti.

Kini bukan masa kita bertelagah sesama kita, bukan masa kita mencari kesalahan antara satu sama lain dan bukan masa kita ber’FANTASI’ kepada sesuatu perkara yang belum pasti.

‘REALITI’ akan mengubah dan telahpun mengubah kita sebelum ini. Jadi, jangan kita ber’FANTASI’ jika ingin mencapai ‘REALITI’.

Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.