Kerajaan PH Tak Mampu Jaga Kesucian Islam, Mendaulatkan Bangsa – Syahbuddin

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Wakil UMNO Negeri Kelantan dari Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim berkata semakin jelas rakyat sudah tidak bergantung harap kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi menjaga kesucian agama Islam serta memartabatkan kedaulatan bangsa.

Ini katanya jelas apabila pemimpin PH yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusoff Rawa gagal memainkan peranan dengan sebaiknya.

“Agamamu sedang dirobek, bangsamu sedang dicabul, Rajamu sedang dipersenda. Pesan Abuya Hamka kepada kita ‘Jika masih diam di kala agamamu dihina tukarlah bajumu itu dengan kain kapan’.

“Ya, kita ada menteri agama, kita hendak tanya menteri agama… tidak ada perasaan malukah, anda menjadi punca kekeliruan kepada agama kita, mentafsir ‘rahmatan lil alamin’ mengikut logik akal semata-mata.

“Mendukacitakan kita ada menteri agama Melayu Islam tetapi terhegeh-hegeh menerima sumbangan zakat daripada orang bukan Islam. Seolah-olah Islam itu meminta-minta pada Guan Eng (Menteri Kewangan-Lim Guan Eng),” tegasnya, yang menjadi pencadang kepada Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Syahbuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas turut membidas kerajaan PH kerana bersikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas setiap isu serta kerosakan yang mereka lakukan dengan menyindir semuanya akibat kebetulan.

“Kerajaan hari ini kerajaan kebetulan. Mereka menangpun kerana kebetulan, bendera diterbalikkan kebetulan, jalur di bendera tak cukup kebetulan, bucu bintang bendera diubah kebetulan, abu Chin Peng dibawa balik dan ditabur kebetulan, himpunan tiga ratus bekas komunis kebetulan.

“Edar komik propaganda komunis kebetulan, rasuah terowong di Pulau Pinang kebetulan, isu banglo menteri kewangan lepas kebetulan, pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam) kebetulan, rogol amah kebetulan, sokong LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) kebetulan,” tambahnya lagi.

Oleh kerana itulah katanya, kerajaan PH yang ditunjangi oleh Dap sememangnya tidak boleh diharapkan kerana jelas tindakan mereka hanya untuk kepentingan politik mereka sahaja.

“Sebetulnya ini kerja siapa? Siapa yang tiup api perkauman, yang rasis itu siapa? Yang sedang gelogoh menguasai negara ini siapa? Yang menidakkan jasa pejuang kita siapa?
“Di tangan Dapkah kita hendak harapkan mereka menjulang agama kita, di tangan Dapkah kita nak harapkan mereka julang bangsa kita, di tangan Dapkah kita hendak harapkan mereka suap anak-anak kita?

“Kena ingat hari ini pemimpin Dap ada di antara mereka yang telah mengakui komunis sebagai darah daging mereka. Parti ini tidak akan berhenti selagi tidak memiliki negara ini,” tegasnya lagi.

Manakala penyokong Usul Ucapan Dasar Presiden Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain (Bangi, Selangor) berpendapat semangat Muafakat Nasional yang digarapkan sebenarnya sama seperti ketika usaha penjajah British mahu menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946 dahulu, yang mahu mengganggu-gugat kesucian agama Islam serta hak istimewa orang-orang Melayu.

“Kalau kita lihat semangat Muafakat Nasional yang kita garapkan pada hari ini sebenarnya berpunca daripada masalah sama pada tahun 1946 iaitu diketuai oleh pemuka-pemuka atau mereka yang hendak menghidupkan semula penjajahan dalam bentuk yang baru.

“Sebab itulah kalau kita lihat apabila mereka mengambil alih tampuk pemerintahan negara, perkara pertama yang mereka lakukan ialah hendak ratifikasikan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum).

“Kesan ICERD sama seperti kesan 1946 dahulu. Mereka hendak meletakkan Islam ini sama ‘level’ dengan agama-agama yang lain dan mereka hendak menghapuskan kuasa Raja-raja dan orang Melayu,” tegasnya lagi.

Justeru Dr Zaidi yakin Muafakat Nasional sememangnya tawaran terbaik buat rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.