UMNO Perlu Formula Yang Fokus Bagi Hadapi PRU-15 – Rosnah

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pesanan dan saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah memberi semangat kepada ahli untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jelas beliau, lima eleman yang diberikan oleh Mohamad cukup bermakna bagi sayap-sayap UMNO sebagai bekalan persediaan menghadapi Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

“Jika kita kupas satu persatu ucapannya yang telah mensasarkan lima eleman yang perlu kita terap dalam diri kita selaku ahli Wanita, Pemuda dan Puteri sudah cukup untuk kita jadikan bekal untuk menghadapi PRU-15 nanti.

“Beliau telah menyediakan satu formula yang cukup jelas untuk kita guna dan menjadi jentera parti dalam keadaan kita kalah, kemewahan dan keselesaan itu bukan lagi milik kita tapi kita menghadapi peperangan ini dengan segala kekurangan yang ada.

“Ini tidak bermakna kita tidak boleh menyediakan bala tentera yang boleh menggegarkan kerajaan PH yang dipilih atas dasar penipuan, “ katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Rosnah yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO menjelaskan tugas setiap sayap adalah untuk melahirkan pemimpin generasi baru.

“Kilang Wanita, Pemuda dan Puteri ini tidak harus terhad kepada hanya pemimpin-pemimpin atasan dan kita harus sentiasa melahirkan pemimpin-pemimpin supaya UMNO ini terus relevan walau sampai bila-bila.

“Saya kira apa yang beliau inginkan di setiap kepimpinan terutama ketiga-tiga sayap UMNO jelas bahawa kita tidak boleh menidakkan bakat-bakat yang boleh diketengahkan dan sama-sama melayari bahtera UMNO ini,” ujarnya lagi.

Dalam Perasmian Sayap UMNO malam tadi, Mohamad ada menggariskan lima elemen yang penting bagi parti.

Antara eleman tersebut adalah seperti berikut:

1. Memberi jaminan dan iltizam UMNO dalam mengukuhkan kedudukan politik dan kuasa Melayu;
2. Memperbaiki kedudukan sosio ekonomi dan kemajuan bangsa Melayu;
3. Mengukuhkan kedudukan Islam, institusi Raja, Bahasa Kebangsaan dan budaya Melayu, mengukuhkan kemajmukan Malaysia;
4. Menghormati kepentingan pelbagai kaum seterusnya memaju dan mensejahterakan Malaysia yang tercinta:
5. Perlunya menggagalkan PH. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.