PAU 2019: Wawancara Khas Bersama Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan

S: Ini adalah kali kedua Perhimpunan Agung UMNO 2019 berlangsung dalam keadaan UMNO bukan lagi parti pemerintah. Bagaimana Datuk Seri melihat ‘mood’ dan keadaan UMNO terutama ahli secara keseluruhannya?

J: Ini adalah kali kedua Perhimpunan Agung UMNO yang dijalankan dalam masa kita tidak lagi menjadi parti pemerintah. Walau bagaimanapun seperti yang selalu saya cakapkan, UMNO ini satu perjuangan yang mana dalam pemerintah atau tidak lagi, perjuangan itu akan tetap terus dan akan tetap kita perkasakan.

Maka tidak timbul ‘mood’ itu baik atau tidak baik atau samada masa kita jadi pemerintah dulu kita kuat dan kita tidak kuat lagi sekarang. Tapi apa yang saya nampak sekarang ini adalah kalau nk ukur dari segi semangat, saya lihat semangat orang UMNO dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sejak 18 bulan kita tidak lagi menjadi parti pemerintah nampaknya lebih tinggi kalau dibandingkan dulu.

Ini kalau kita lihat mesyuarat di kawasan-kawasan, di cawangan dan bahagian, kehadiran begitu baik sekali. Mereka datang dengan satu kesedaran, dengan satu semangat untuk pastikan UMNO ini bangkit semula dan kuat dan ambil balik pemerintahan negara kita. Jadi soal tentang bagaimana keadaan selepas kita kalah saya yakin dan percaya bahawa kegemilangan semangat orang UMNO sekarang ini bertambah tinggi dan kesedaran politik orang Melayupun bertambah tinggi. Jadi ini satu perkara yang orang katakan hikmah daripada kekalahan kita kerana yang penting dalam perjuangan kita adalah semangat kerana kalau semangat ada, sikap betul, apapun kita boleh buat insya-Allah.

S: Adakah Datuk Seri melihat semangat itu satu daripada berlangsungnya mesyuarat UMNO cawangan, bahagian juga penyertaan UMNO dalam siri PRK dan juga konvensyen yang dijalankan oleh UMNO?

J: Kita boleh nampak dari mesyuarat cawangan-cawangan, kalau dulu mesyuarat cawangan kalau kita ikut peraturan betul-betul ramai yang tidak boleh bermesyuarat kerana tidak cukup kuorum tapi sekarang isu kuorum ini sudah tidak ada masalah malah mesyuarat cawangan saya sendiri dulu walaupun masa itu saya jadi menteri besar dan ketua perhubungan, kadang-kadang nak dapat kuorum pun susah juga… kena tunggu 10 ke 15 minit baru beransur-ansur orang datang tapi sejak dua mesyuarat selepas kita tewas dalam PRU-14 dulu, nampaknya kuorum sudah tak jadi isu. Orang datang dengan sendiri, orang datang dengan kata tidak perlu lagi ada cabutan bertuah tapi mereka datang dengan suatu tujuan satu hasrat nak melihat parti kita akan terus bangkit dan bangun semula dan ambil semula tampuk pemerintahan negara dan juga negeri.

S: Datuk Seri, bercakap soal semangat tidak dapat dinafikan rentetan kemenangan dalam siri PRK menyumbang semangat ahli tetapi satu lagi faktor rasa benci rakyat kepada kerajaan PH juga menjadi penyebab rakyat kembali menyokong kita sebagai pembangkang tapi bagaimana Datuk Seri melihat supaya ahli dan pembahas tidak tersasar dalam fokus menuju PRU-15?

J: Itu sebab saya katakan dalam penutup Konvensyen UMNO Negeri Sembilan tempoh hari bahawa kita mesti tahu matlamat utama kita adalah PRU-15. Menang dalam PRK ini memang penting untuk membangkit dan membakar semangat kita tetapi itu adalah tempur yang kecil. Perang kita yang sebenar adalah PRU-15 jadi segala usaha, segala strategi harus kita susun dan atur elok-elok kerana peperangan PRU-15 adalah peperangan yang sebenar. Itulah matlamat utama dalam parti kita. Menang dalam PRK Alhamdulillah, itu membakar, menaikkan semangat lagi, itu boleh memberi impak positif kepada kita kepada parti dan beri ruang kepada orang yang tidak berparti menyatakan ketidakpuasan hati mereka kepada PH tetapi kita sebagai orang parti jangan lupa, jangan alpa, jangan besar kepala, jangan bangga bodoh sombong… sudah menang empat PRK ini bukan satu jaminan untuk kita katakan bahawa PRU-15 nanti itu ketentuan untuk kita menang bahkan ini juga akan menjadi sebagai suatu asas ukur kepada PH untuk memperbaiki parti mereka. Jadi kita mesti terus berusaha, satukan hati orang UMNO mesti jadi jentera yang kuat untuk kita pastikan persiapan kita yang rapi, persiapan kita yang mantap harus kita siap sediakan untuk kita hadapi PRU-15 iaitu perang kita yang sebenar.

S: Datuk Seri sering bercakap soal memperkasakan parti sebagai asas kepada matlamat akhir. Sejauh mana Datuk Seri melihat prestasi dan pencapaian UMNO setakat ini?


J: Nampak ada perubahan dari segi sikap, dari segi usaha untuk memperkasa parti terutama di perinkgat bawahan. Yang pertama nak memperkasa parti itu mesti sikap dan semangat. Kalau siapkan bermacam-macam kemudahan, apa jua semua peralatan tapi sikap dan semangat tidak ada kita tidak akan jadi. Apa yang penting nak kita kuatkan perjuangan ini adalah sikap dan semangat. Sudah ada semangat dan sikap kita sudah boleh berubah untuk kita pastikan kita tidak akan terus jadi pembangkang dan matlamat utama hendak jadi kerajaan semula, itu sudah baik dan di situ sebagai pemimpin dan jentera pusat kita kena kumpulkan… bak kata orang tua-tua alun-alun ini kalau dibuat sendiri jadi alunlah… tak takut turun ke laut kalau laut berlaun-alun. Alun ini kalau bercantum dia akan jadi ombak. Alun di cawangan jadi ombak di bahagian, ombak di bahagian pula mesti bercantum menjadi gelombang di peringkat negeri dan gelombang di negeri akan bercantum menjadi tsunami di peringkat kebangsaan. Ini perlu kita susun atur elok-elok. Semangat dan sikap sudah baik di peringkat bawah, kita perlu satukan, kita perlu terapkan, kita bagi lagi semangat supaya mereka akan terus bersemangat dan ini dibawa ke bahagian, bahagian bercantum menjadi satu gelombang di peringkat negeri dan gelombang akan bercantum menjadi tsunami dan kalau sudah jadi tsunami saya yakin dan percaya UMNO berada di atas landasan yang betul dan kita boleh menang dalam PRU-15 nanti.

Tapi cara bagaimana hendak kita cantumkan alun-alun, sudah bercantum nak jadikan ombak, cara mana kita nak cantumkan ombak bersatu menjadi satu gelombang yang besar. Kalau laut bergelombang orang tidak berani turun kalau laut sudah menjadi tsunami dia akan membadai apa juga yang ada didepan. Ini perlu kita buat. Ini sebagai kata kiasan jadi semangat dan sikap yang sudah ada ini perlu kita asuh dan perlu kita pupuk supaya dia tidak mati supaya orang kata dia tidak menurun balik. Jadi PRK itu baik kerana ia akan beri satu semangat lonjakan baru. Bila menang lonjakan baru… ‘happy’… ‘so’ lebih banyak PRK lebih baiklah untuk UMNO untuk kita melatih jentera kita dan dalam masa yang sama membakar semangat dan memberi apa juga persiapan kepada jentera kita menghadapi pilihan raya bukan lagi sebagai parti memerintah tetapi sebagai parti yang tidak lagi memegang kuasa.

S: Apakah cabaran sebenar untuk memperkasa parti selain sikap… mungkin ada cabaran lain?

J: Banyak cabaran lain. Cabaran-cabaran yang mana berlaku semasa kita jadi parti kerajaan, sikap sambil lewa, sikap tidak ambil peduli, sikap kadang-kadang yang mementingkan diri, yang tak baik sekali ialah sikap kadang-kadang mensabotaj parti. Ini yang selalu saya tekankan supaya lupakanlah perangai-perangai yang tak baik ini… yang penting parti. Parti kita penting, perjuangan kita penting, masa depan anak kita, masa depan bangsa kita Melayu amat penting.

Perjuangan bukan berasaskan kepada individu. Perjuangan berasaskan kepada semangat juang agama, bangsa dan tanah air kita. Buangkanlah sikap-sikap tidak baik kerana seperti yang selalu juga saya cakapkan kekalahan kita bukan disebabkan satu faktor. Kekalahan kita banyak faktor-faktornya. Faktor nasional, faktor tempatan, faktor luaran, faktor dalaman tapi yang paling teruk sekali ialah faktor dalaman. Faktor nasional itu kita tahu tetapi banyak juga tempat yang kita kalah bukan disebabkan faktor luaran sangat tapi disebabkan faktor dalaman… tidak suka dengan calon, tidak dapat jadi calon, macam-macamlah… bila calon punya nama keluar, tutup peti undi, ini yang banyak terjadi di peringkat negeri, DUN-DUN dan Parlimen yang kalah. Bukan disebabkan faktor luaran sangat.

Kita menghadiahkan PH kerusi kita dia atas dulang emas. Ini perlu kita elakkan. Kalau kita benar-benar jujur hendak berjuang, buanglah sikap-sikap negatif dan tidak baik seperti itu.

S: Datuk Seri cakap alun-alun akhirnya menjadi tsunami… itu semua sikap dan juga sebenarnya berdasarkan kepada muafakatan sebagai keutuhan wadah politik.. boleh Datuk Seri terangkan usaha-usaha yang dijalankan oleh UMNO untuk merapatkan saf kemuafakatan di kalangan pemimpin dan ahli?

J: Itu yang saya katakan tadi, sikap tidak baik itu perlu kita buang, sikap iri hati antara satu sama lain, sikap ego itu perlu kita buang, yang penting saya katakan parti. Kita utamakan parti, jika semua ahli UMNO utamakan parti, kita tidak akan tersasar tapi banyak orang kita sudah terlampau lama mentadbir, berkuasa bila dijadikan ‘position equal powers’ maka inilah yang jadi. Masing-masing sibuk nak cari ‘position’, nak cari tempat kerana tempat itu menjamin kuasa… kita tidak… kita yang penting itu adalah perjuangan. Semua orang mesti menjalankan tugas dan tanggungjawab kita bersama-sama. Siapa yang ditentukan untuk memegang jawatan itu terpulang, itu adalah takdir Allah Taala siapa jadi Presiden, Timbalan Presiden, MT, Menteri Besar ke… tapi apa yang penting adalah semangat juang itu.

Kita berjuang kerana perjuangan. Kita berjuang kerana agama, bangsa dan tanah air kita tapi bila dah lama menjadi parti yang berkuasa, parti kerajaan, didapati semua orang nak cari tempat dan jawatan kerana jawatan itu ‘equal’ kuasa. Itu tidak baik. Sebab itu bila kalah banyak yang lari keluar. Ini satu pembersihan dalaman secara tersendiri kerana ramai yang ingat UMNO sudah kalah jadi tak guna lagi duduk dalam UMNO. Itu merupakan suatu proses untuk kita memperkasakan parti kita. Yang tinggal ini adalah orang yang benar-benar mengerti erti perjuangan jadi insya-Allah dengan semangat dan sikap yang betul, saya yakin UMNO akan dapat kita pertingkatkan imej kita kerana yang penting adalah imej. Imej kita telah teruk dihentam dilanyak oleh parti pembangkang dulu jadi kita perlu perbetulkan imej kita dulu… imej inilah yang hendak kita bawa, brand inilah yang hendak kita bawa kerana tidak ada salahnya UMNO kalau nak dibandingkan dengan kejayaan ini mentadbir negara, kita mentadbir negara lebih 60 tahun dengan baik, ‘track record’ kita baik. kita cuma mengalami kesusutan defesit imej kerana mereka menggunakan ini sebagai satu senjata untuk menjatuhkan UMNO.

Jadi, perbetulkan imej. Pemimpin UMNO mesti mempunyai keyakinan dan jati diri yang kuat supaya imej kita melambangkan parti kita. Jadi sebagai pemimpin, saya nak menasihatkan pemimpin juga mesti ada satu jati diri yang baik supaay imej kita ini menggambarkan imej perjuangan kita jadi apa yang kita lakukan adalah juga melambangkan parti. Jadi, urus parti dengan baik, jujur dalam perjuangan, insya-allah.

S: Bercakap soal imej, selepas kekalahan dalam PRU-14 UMNO memperkenalkan penyatuan ummah kemudian kita mertai pula Muafakat Nasional dan kita lihat Muafakat Nasional ini lama kelamaan mula dipercayai oleh golongan atas pagar dan golongan yang tidak berparti. Jadi bagaimana Datuk Seri melihat adakah Muafakat Nasional boleh menjadi satu alternatif kepada PH pada PRU-15 nanti?

J: Itu satu perkara yang memang kita telah kenalpasti dalam satu usaha kita hendak memperkasakan parti dan menyusun strategi menghadapi pilihan raya. Salah satu daripada usaha nak memperkasakan parti adalah mengelakkan perpecahan dan menyusun strategi untuk mengadapi pilihan raya adalah mengelakkan pertembungan-pertembungan sesama parti Melayu dan dua parti Melayu terbesar di Malaysia adalah UMNO dan PAS. Jadi kita tutup.

Satu isu besar telahpun kita tutup. Semua tahu lebih 30 kerusi Parlimen kita kalah sebab adanya pertandingan tiga penjuru… ini sudah tutup. Yang penting kita sudah menyatu padukan orang Melayu. Dua parti Melayu terbesar ini UMNO tiga juta, Pas sejuta lebih… empat juta lebih telahpun dapat kita satukan dan ini adalah impian dan hasrat semua orang Melayu di tanah air supaya janganlah dua parti Melayu terbesar ini bertelagah… jadi ini telah kita buat tapi penyatuan ummah sahaja tidak cukup di situ kerana jika kita bercita-cita hendak menguasai semula Putrajaya, kita tidak boleh berhenti di penyatuan ummah sahaja kerana kita mesti faham negara kita ini adalah majmuk. Sokongan daripada kaum lain itu penting untuk kita bersama-sama. Kalau tidak ada penyertaan daripada Sabah dan Sarawak hasrat nak jadikan Putrajaya kepunyaan kita susah. Jadi kita kena bawa Sabah dan Sarawak juga dan secara jujurnya saya katakan penyatuan ummah tidak relevan kepada mereka.

Tetapi Muafakat Nasinoal itu lebih relevan di Sabah dan Sarawak dan juga di Semenanjung Tanah Melayu kerana mengambil kira rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan berbilang agama. Jadi fasa satu sudah ok. Maka kita tutup dan masuk fasa kedua. Fasa kedua adalah Muafakat Nasional dan daripada sini pula apa yang perlu kita buat. Apakah kita perlu menginstitusikan Muafakat Nasional ini atau Muafakat Nasional ini satu persefahaman yang longgar… ini ‘question mark question mark’ yang telahpun saya urus dalam jawatankuasa rundingan baru-baru ini untuk jawatankausa teknikal UMNO PAS memikirkan dan membawa suatu kajian yang lengkap supaya mengambil kira semua aspek untuk kita lihat apa ‘next step’ kita. Muafakat Nasional tak habis dengan ceramah sahaja. Berapa lama je kita boleh ceramah. … takkan nak katakan kita mengharapkan kelemahan PH sahaja. Jadi apa keperluan yang mesti ada. Kalau nak bentuk kerajaan, apa tawaran kita kepada rakyat Malaysia. Apa ‘new deal’? Mengambil kira masyarakat Malaysia ini adalah masyarakat majmuk.

Kita perlu mempunyai mesej-mesej, mempunyai tawaran-tawaran baru yang perlu kita lengkapkan untuk setahun atau setahun setengah untuk kita beritahu rakyat Malaysia. Kalau pilih Muafakat Nasional inilah yang akan kita buat, kalau kita jadi kerajaan ini yang akan kita buat supaya ini menjadi teras. Tidak perlu lagi kita buat manifesto nak dekat pilihan raya. Kita buatkan rancangan kita kalau kita jadi kerajaan. Itu sebabnya saya katakan bahawa Muafakat Nasional ini mestilah berkelakuan sebab kita ini adalah alternatif government supaya orang melihat kita eh… inilah rupanya… itu sebabnya saya telah putuskan bahawa perlu ada satu pelan tindakan di bawah empat negeri yang dibawah UMNO dan PAS. Kita lihat ke atas Muafakat Nasional tapi dekat bawah tidak ada lagi… di peringkat negeri. Jadi terlebih dahulu empat negeri ini kita ubah suai strukturnya supaya inilah negeri Muafakat Nasional kalau kita menang nanti… inilah dia contohnya yang hendak kita buat.

S: Perhimpunan ini juga menyaksikan akan ada beberapa pindaaan fasal-fasal penting dalam perlembagaan UMNO. Mungkin Datuk Seri boleh ulas sedikit mengenai pindaan yang perlu dilakukan dan mengapa ia perlu dilakukan?

J: Tidak ada yang dipinda fasal penting cuma menambah baik kerana kita bukan lagi parti kerajaan. Kita jangan mengikat Perlembagaan kita ini… susah kita… macam kita ada 18 bulan untuk tambahan tangguhkan AGM. 18 bulan, lepas itu… tapi kalau apa-apa terjadi sudah tidak ada. Jadi kita tambah 18 bulan atau suatu tarikh yang sesuai dan diluluskan oleh MT. Jadi kita tidak mengikat. Banyak klause-klause begitu yang kita buat supaya ia tidak mengikat kita tapi apa yang paling mustahak sekali yang hendak kita cadangkan ialah adanya satu perkara baru iaitu dalam ‘Sabah Chapter’.

Tadi saya katakan penyatuan ummah ini tidak relevan di Sabah kerana Sabah dan Sarawak politiknya berbeza. Selagi UMNO Sabah masih lagi sebagai cawangan untuk UMNO di sini maka slogan Sabah itu tidak boleh diguna pakai oleh UMNO Sabah. Jadi kita bagi satu atonomi penuh kepada Sabah supaya mereka mengurus parti mereka sendiri dan kita panggil itu sebagai ‘The Sabah Chapter’. Kita boleh panggil nanti UMNO Sabah dan ia boleh mengurus pemilihan semua sendiri kerana kita tidak mahu lagi melihat UMNO di Sabah terus dilihat melalui PWTC. Ini akan memberikan kekuatan kepada UMNO di Sabah itu sendiri kerana walaupun pergolakan parti politik Sabah tetapi UMNO Sabah tetap ada. Ini menunjukkan UMNO Sabah sudah berakar umbi di situ dan kita berlu menambah diri dan beri apa juga bantuan dari segi moral ataupun dari segi sokongan terutama untuk mereka urus sendiri parti mereka di Sabah.

S: Perhimpunan kali ini dapat dilihat jika dulu agak suram kerana masih sedih tetapi semangat semakin membuak dan ramai yang nak datang. Jadi mungkin harapan dan pesanan Datuk kepada akar umbi yang datang khusus kepada pembahas yang bakal membahas?

J: Saya mengajak kepada semua yang hadir supaya bersama-sama melihatkan imej yang baru kerana orang luar melihat kita. Jadi kepada pembahas pula berbahaslah dengan baik sebab kita tidak mengongkong siapapun hendak berbahas dan kita akan buat live. Orang akan dengar dan bahas dengan baik. Kita cuma ada satu perbahasan iaitu membahas ucapan Presiden. Ucapan dasar Presiden ini terbuka. Bahaslah supaya kita dapat pastikan bahawa idea dan pandangan yang dibawa oleh akar umbi itu dapat memberikan tambah nilai kepada usaha pemimpin di pusat untuk kita lebih mendalami isu, mendalami lebih perkara yang dihadapi oleh negeri terutama khusus dalam untuk kita memperkasa dan menyusun strategi kepada pilihan raya.

S: Apa Datuk Seri melihat signifikan perhimpunan kali ini kepada parti?

J: Signifikanya ialah setiap Perhimpunan Agung itu memang penting tetapi kali ini kita sudah 18 bulan sebagai bukan lagi parti kerajaan. Maka saya berharap semua akan membawa corak perbahasan yang matang. Kita berbahas ini bukan untuk orang UMNO sahaja tetapi untuk orang di luar sana. Mesej kita bukan hanya untuk orang dalam dewan sahaja, mesej kita untuk rakyat Malaysia. Jika UMNO diberi kepercayaan lagi oleh rakyat Malaysia, UMNO yang macam mana? Jadi kita mesti memperberbaharui tekad dan perbahasan kita supaya imej kita yang teruk dihentam oleh PH sehinggakan kita kalah dapat kita bina semula kerana brand bagus produk bagus tapi imej dah tak baguspun susah juga. Jadi dalam sekarang ini kita perlu membina imej kita sendiri. Bina elok-elok. Jangan hendak mencari kesalahan orang sahaja. Yang penting mesti bertiqamah dan melihat kepada isu dalaman kita yang patut kita buat, apa yang patut kita baiki dan kita dapat fahami bahawa ini merupakan satu perjuangan untuk kita menghamparkan satu perjuangan kepadaanak cucu kita nanti. – UMNO ONLINE