Empat Program Modal Insan NCER Bakal Lonjakkan Pembangunan Perlis

KANGAR, 29 Nov – Rakyat Perlis bakal menerima lonjakan pembangunan melalui empat program modal insan yang memberi fokus kepada aktiviti ekonomi baharu serta menggalakkan pelaburan dalam industri teknologi tinggi agar negeri ini mencapai sasaran ekonomi RM7 bilion menjelang 2025.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata ini bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan peluang keusahawanan dan menaikkan pendapatan isi rumah di negeri ini.

“Empat program pembangunan modal insan dan keusahawanan yang disasarkan khususnya bagi golongan belia, wanita, graduan, penganggur, usahawan mikro, serta orang asli, terutamanya dari golongan berpendapatan rendah B40,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Modal Insan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Menyemarakkan Kemakmuran, Memperkasakan Rakyat di Dewan 2020 semalam.

Program-program tersebut meliputi ‘empowerNCER@Perlis, ‘entrepreneurNCER@Perlis, ‘NCER Talent Enhancement Programme (NTEP)’ dan ‘Dana Mudahcara Bumiputera (DMB)’ yang dirangka khas bagi menangani jurang kemahiran serta membasmi kemiskinan secara holistik dan inklusif di wilayah utara.

Katanya bagi menggalakkan keusahawanan dan pembabitan sektor swasta dalam kegiatan ekonomi serta pembangunan secara keseluruhan, Pihak berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah menjalinkan kerjasama pintar dengan Yayasan MyKasih bagi pelaksanaan komponen akademik program empowerNCER@Perlis.

NCIA merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk menyediakan hala tuju dan merangka dasar serta strategi menggalakkan dan mempercepatkan pembangunan NCER.

Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata fasa pertama pelaksanaan program empowerNCER@Perlis, komponen Latihan Kemahiran dan Keusahawanan disasar kepada 200 peserta manakala komponen akademik disasar kepada 200 pelajar, sementara program entrepreneurNCER@Perlis pula disasarkan pada 50 usahawan mikro dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

Bercerita lanjut mengenai setiap program itu, Jebasingam berkata NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) diwujudkan sebagai insentif untuk menarik pelaburan swasta serta mengatasi isu graduan tempatan yang menganggur di NCER di mana jalinan kerjasama dengan sebuah syarikat di Perlis telah menyalurkan pelaburan sebanyak RM15 juta dan mewujudkan 200 pekerjaan sehingga akhir bulan lalu.

Tambah beliau, pelaksanaan NTEP memastikan ketersediaan tenaga kerja akan menjadi tarikan tambahan bagi lebih banyak syarikat beroperasi di wilayah ini.

“DMB pula berperanan memberi suntikan dana sebagai pemangkin kepada syarikat-syarikat bumiputera lebih berdaya saing, bakal menjana dan mewujudkan pekerjaan serta mencipta limpahan peluang keusahawanan di negeri Perlis,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.