Malaysia Baru Jadi Utopia, Muafakat Nasional Cabaran Naratif Baru

SELEPAS PRK Tanjung Piai, pelbagai pendapat ditinjau tentang masa depan politik negara khususnya berkaitan Kerajaan PH. Demikian juga tentang masa depan politik Muafakat Nasional.

Dalam sebuah diskusi Pasca Tanjung Piai: Fakta, Dimensi dan Dinamik anjuran dua badan pemikir dan konsultansi, ZCG dan CENT-GPS pada 22.11.2019, kesemua wakil dari Merdeka Center, Ilham Center, INSAP, dan ZCG menyimpulkan bahawa keputusan Tanjung Piai adalah luar biasa dari segi penolakan rakyat terhadap Kerajaan PH.

Kecenderungan protes rakyat terhadap kerajaan PH di seluruh negara dizahirkan di Tanjung Piai. Ia dikaitkan juga dengan pemilihan calon yang tepat. Dr Wee Jeck Seng banyak berjasa dan sangat dikenali di kalangan masyarakat berbagai kaum di Tanjung Piai.

Justeru tidak boleh menyimpulkan secara definitif bahawa Muafakat Nasional sudah mulai diterima.

Pun begitu, perasaan kebersamaan UMNO dan PAS semakin mantap dan kukuh. Semakin hilang sifat curiga mencurigai.

Mereka bergerak dalam satu barisan yang kukuh bersama MCA. Turut dibantu oleh MIC dan rakan-rakan BN yang lain.

Namun keberanian Muafakat Nasional meletakkan seorang calon dari kalangan bukan Melayu setidak-tidaknya mematahkan sentimen penolakan secara total terhadap Muafakat Nasional.

Menurut seorang ahli politik veteran Sarawak dalam talian ‘whatsapp’nya menyatakan bahawa dalam konteks Sabah dan Sarawak, Muafakat Nasional mulai menunjukkan bahawa mereka bukanlah golongan ekstremis dan chauvinis agama dan kaum. Ini merupakan permulaan yang positif.

Dr Hamidin dari Ilham Center menganggap apa yang berlaku di Tanjung Piai adalah suatu ‘quo vadis’ untuk Malaysia dalam beberapa perkara: ekstremisme vs moderat; naratif baru vs naratif lama; polisi vs penyampaian; perpaduan ummah vs muafakat nasional.

‘Quo Vadis’ atau dalam pertuturan harian “ke mana hala tuju kita sebenarnya” adalah suatu persoalan yang sering ditimbulkan dalam wacana politik yang melihat suasana tidaktentuan dan konflik yang berterusan.

Di tengah-tengah pelbagai ketidaktentuan kehidupan bernegara sama ada dalam bidang ekonomi mahupun keamanan sosial, kita masih samar-samar mencari hala tuju sebenarnya.

Meskipun PH yang pada awalnya dianggap sebagai pengukir sejarah besar negara yang berjaya meruntuhkan 61 tahun penguasaan BN, namun setelah lebih 18 bulan mereka mulai kehilangan sentuhan rakyat.

Naratif baru yang dibawa untuk membina Malaysia baru menjadi utopia kerana penolakan rakyat atas sebab kegagalan memenuhi janji kehidupan yang lebih baik.

Di pihak BN dan PAS pula, usaha membina naratif baru Muafakat Nasional sedang diserang dengan dahsyat sekali.

Kalangan penulis dan pembicara wacana nasional (national discourse) melakarkan gambaran sehitam-hitamnya sekiranya kemenangan berpihak kepada Muafakat Nasional pada PRU15 nanti.

Banyak tulisan yang sedang bercambah untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa sekiranya rakyat sudah tidak mempercayai Pakatan Harapan bermakna Malaysia sudah tidak mempunyai masa depan lagi.

Inilah yang cuba dicanangkan oleh supremo DAP Lim Kit Siang. Dalam erti kata yang lain, Malaysia yang baik dan sempurna serta hebat, hanya berada dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Sekiranya rakyat sudah menolak PH bermakna Malaysia akan terjerumus ke dalam masa depan yang kelam dan merbahaya.

Tetapi yang menariknya Siti Kasim sendiri menolak andaian dan tanggapan Kit Siang ini. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa rakyat sudah hilang keyakinan terhadap PH.

Kempen menakut-nakutkan rakyat seperti ini nescaya tidak memberi kesan kepada rakyat.

Buktinya ketika Liew Chin Tong, pakar strategis DAP, mengingatkan pengundi Tanjung Piai bahawa sekiranya mereka mengundi BN bermakna mereka akan mengembalikan semula kerajaan kleptokrat.

Namun beliau gagal meyakinkan pengundi Tanjung Piai apabila BN menang dengan jumlah yang lebih besar.

Demikian juga kedengaran kempen menakutkan rakyat bahawa jika menyokong Muafakat Nasional maka skandal sebesar 1MDB akan muncul lagi; Najib, Zahid dan pemimpin-pemimpin UMNO akan dibebaskan; politik perkauman akan berkembang; ekstremis agama akan marak; bukan-Islam akan terancam.

Teknik yang disebut sebagai ‘fear ( ketakutan) and persuasion’ (rayuan) sering digunakan dalam kempen politik untuk menakutkan rakyat. Ia dikatakan mempunyai kesan ke atas niat, pandangan, dan tindakan seseorang untuk mengubah pendirian mereka.

Kempen dan propaganda ini pasti tidak akan berhenti sehingga PRU15. Kerajaan PH akan melipat gandakan usaha untuk terus meyakinkan rakyat bahawa Muafakat Nasional buruk, manakala PH baik.

Muafakat Nasional perlu menghadapi realiti ini. Mereka bukan lagi sebuah kerajaan. Segala perkakas penguasa berada dalam tangan PH.

Cabaran Muafakat Nasional ialah untuk membina perspektif baru politik nasional.

Dalam membina perspektif baru ini mereka hendaklah berani mengurangkan suhu serangan golongan anti Muafakat Nasional dengan menggunakan hikmah politik (political wisdom).

Mereka tidak boleh menjadi golongan ‘reactionary’ iaitu bertindak balas secara membuta tuli penuh emosi terhadap asakan kerajaan PH.

Hikmah politik ialah perlu mengakui kelemahan dan kesilapan lalu, sambil berusaha memperbaiki diri.

Istilah dan konsep politik lalu yang banyak menimbulkan kekeliruan dan ketakutan hendaklah digantikan dengan kelunakan dan kesantunan.

Muafakat Nasional hendaklah bangun menjadi penyedia jalan penyelesaian (solution provider) kepada krisis politik hari ini.

Muafakat Nasional perlu mengukuhkan jaringan bahawa mereka tidak memusuhi orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Mereka perlukan strategi untuk melakukan sanggahan naratif (counter narrative) bahawa konsep penguasaan golongan majoriti (majoritarian) bukan membawa keburukan tetapi mengarah kepada kestabilan.

Penyatuan orang Melayu dan Bumiputra baik untuk negara. Ia bukan satu malapetaka.

Manakala penyatuan golongan majoriti adalah berlandaskan perlembagaan negara.

Ia bukan bererti ‘winner-take-all’ (yang menang ambil semua). Atau tidak ada lagi pluralisme politik dan demokrasi berparlimen dalam negara ini selepas terbentuknya kerajaan Muafakat Nasional.

Demikian juga agihan manafaat (distributed benefit) untuk semua tentunya perlu diperkasakan bagi membuktikan bahawa Muafakat Nasional adalah untuk semua kaum dan agama serta wilayah.

Mungkinkah nanti Muafakat Nasional menjadi satu gabungan baru menggantikan Barisan Nasional? – UMNO ONLINE

Dr Zambry Abd Kadir
Ahli Majlis Tertinggi UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.