Tidak Timbul Soal Tinggal Parti… MP BN Perjelas Pertemuan Dengan Azmin
KUALA LUMPUR, 23 Nov – Seramai 15 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang hadir dalam pertemuan bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Isnin lalu menafikan ia ada kaitan dengan isu peralihan kuasa.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, mereka menjelaskan isu peralihan kuasa itu adalah hal dalaman Pakatan Harapan (PH) yang tiada kena mengena dengan mereka selaku Ahli Parlimen pembangkang.
Menurut kenyataan itu juga, kesemua Ahli Parlimen berkenaan menafikan dakwaan kononnya pemimpin UMNO sudah hilang parti dan tidak pasti apa perlu dilakukan, sama ada hendak lompat parti atau tidak.
“Kami boleh sahkan, tidak pernah sekalipun pendirian sedemikian disebut oleh mana-mana Ahli Parlimen BN semasa pertemuan itu.
“Sebaliknya, pertemuan itu dikhususkan bagi membincangkan isu di kawasan Parlimen masing-masing serta usaha memastikan segala kepentingan dan keperluan rakyat dapat dipenuhi sebaiknya.
“Malah, seperti dinyatakan berulang kali sebelum ini, kami langsung tidak berniat untuk tinggalkan parti, apatah lagi sertai parti lain,” menurut kenyataan itu.
Selain Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, 15 Ahli Parlimen BN itu termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis).
Turut serta Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Salim Sharif (Jempol), Datuk Hasbullah Osman (Grik), Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin), Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib Ahli (Maran), Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).
Menurut kenyataan itu, mereka mengalu-alukan penyertaan pemimpin PH untuk menyertai UMNO dan BN.
“Kita boleh bersama-sama pulihkan semula negara yang berdepan pelbagai masalah sejak PH memerintah. Dan, lebih penting lagi, kita kembalikan negara pada landasan yang boleh menjamin masa depan rakyat, anak dan cucu cicit kita,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan kenyataan semalam oleh tujuh Ahli Parlimen BN iaitu Ismail, Salim, Jalaluddin, Ramli, Azalina, Abdul Rahman, Mastura membabitkan isu sama.
Dalam kenyataan semalam, Ahli Parlimen berkenaan menafikan dakwaan pemimpin UMNO sudah hilang parti.
Mereka menjelaskan, pertemuan di kediaman rasmi Mohamed Azmin selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berhubung kait dengan usaha pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing termasuk pembinaan infrastruktur untuk kegunaan orang ramai seperti masjid, surau dan balai raya.
“Selain itu, dengan kemenangan besar BN di Tanjung Piai, kami turut mengajak Azmin untuk masuk UMNO, kerana terbukti ketika ini rakyat lebih percayakan UMNO dan BN. Seperti yang dinyatakan berulang kali sebelum ini, kami tidak akan sesekali keluar UMNO apatah lagi lompat parti,” katanya.-BHOnline