Tanjung Piai: Kemenangan Yang Mengujakan Dan Menguji

ANGKA 15,086 telah membuka lembaran baharu politik tanah air. Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu dengan majoriti 15,086 undi sesuatu yang di luar jangkaan kebanyakan pihak terutamanya Pakatan Harapan (PH).

Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran berliku dan halangan yang tidak berkesudahan, kegigihan dan kesepaduan jentera dan akar umbi antara faktor kemenangan bergaya Barisan Nasional. Syabas dan terima kasih diucapkan kepada seluruh jentera dan pengundi di Tanjung Piai. Jiwa saya tersentuh melihat semangat juang dan kesetiaan jentera BN di peringkat akar umbi khususnya Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tidak mengenal erti penat lelah sanggup berpanas dan berhujan demi satu kemenangan, demi satu Parlimen dan satu kerusi di Dewan Rakyat.

Hakikatnya apabila ditatap raut wajah pejuang dan jentera akar umbi, saya dapat merasakan perjuangan, kesetiaan dan kegigihan mereka tidak boleh diukur dengan kebendaan dan habuan. Perjuangan mereka bukan perjuangan peribadi tetapi perjuangan yang suci demi UMNO dan negara.

Kemenangan di Tanjung Piai juga membuktikan bahawa Muafakat Nasional semakin diterima oleh rakyat sebagai satu naungan dan naratif baharu politik negara. Menjadi cabaran besar kepada Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional mengisi kemenangan ini.
Kita perlu mengakui bahawa Muafakat Nasional sudah menjadi naratif dan cabaran baharu politik tanah air.

Post-mortem kemenangan perlu dilakukan bagi melihat apakah faktor terbesar kemenangan Barisan Nasional dan faktor kekalahan Pakatan Harapan? Adakah kekalahan tersebut sebagai satu referendum rakyat yang menolak kepimpinan Pakatan Harapan atau berpunca daripada kekecewaan rakyat kerana mereka gagal menunaikan manifesto? Dan apakah perubahan trend atau aliran sokongan ini bersifat sementara bergantung kepada keperluan dan kepentingan? Persoalan-persoalan ini perlu kita diteliti dan dikaji berdasarkan kepada fakta bukan sekadar sangkaan dan agakan.

Sudah menjadi fitrah setiap kemenangan ada ujiannya yang tersendiri, dalam keterujaan kita meraikan kemenangan, jangan alpa bahawa ujian kemenangan akan menguji kita. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: ‘Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’ (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Di saat Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) meraikan dengan penuh kesyukuran kemenangan di Tanjung Piai, saya diuji dengan pendakwaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Inilah harga sebuah perjuangan yang perlu saya harungi, doakan agar saya tabah menghadapi ujian ini dan kebenaran akan terserlah mengatasi kebatilan dan fitnah. Saya yakin Allah SWT tidak akan menguji seseorang hambanya di luar daripada kemampuannya.

Buya Hamka pernah berkata “Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.”

Tanpa disangka kemenangan ini juga menguji kepimpinan UMNO berhadapan dengan polemik berkaitan pertemuan Ahli Parlimen UMNO dengan Menteri kanan kerajaan di rumahnya. Polemik ini telah menimbulkan ketidakselesaan ahli khususnya di peringkat akar umbi. Walau apapun alasan dan sebab- musabab yang diberikan berkaitan pertemuan tersebut, sebagai ahli Parlimen yang mewakili UMNO dan Barisan Nasional, seharusnya kita jadikan kepentingan berorganisasi dan menghormati kepimpinan parti mengatasi segala agenda peribadi dan golongan tertentu.

Bagi menokhtahkan polemik ini, kepimpinan UMNO telah bersetuju supaya perkara ini diserahkan kepada Jawatankuasa Disiplin (JKD) UMNO melakukan siasatan di bawah peraturan sedia ada dan terpulang kepada JKD membuat keputusan. Saya berkeyakinan dengan pengalaman dan kewibawaan jawatankuasa JKD yang diketuai oleh Tan Sri Apandi Ali semua pihak akan mendapat keadilan dan kesaksamaan.

Saya berpandangan pelbagai ujian yang menimpa UMNO pasca PRK Tanjung Piai ini sebenarnya satu permulaan kepada naratif baharu politik tanah air khususnya dibawah naungan Muafakat Nasional. Di samping itu juga ujian ini mampu mengukur tahap kesabaran pimpinan dan ahli parti dalam perjuangan sehinggakan Allah SWT menyebut perkataan Sabar lebih 90 kali di dalam al-Quran.

Naratif baharu politik pasca Muafakat Nasional boleh dibina dengan kita menerokai pengalaman daripada parti-parti politik yang dilabelkan sebagai “Grand Old Party” yang pernah jatuh dan bangun kembali seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun, Parti Republikan di Amerika Syarikat, Parti Kongres di India.

Parti Liberal Demokratik (LDP) tumbang dalam pilihan raya tahun 2009 di tangan Parti Demokratik Jepun (DPJ). Mandat pemerintahan yang diberi kepada DPJ, bukanlah manifestasi kepercayaan rakyat Jepun terhadap parti itu. Sebaliknya, ia merupakan satu hukuman kepada LDP. Selepas kekalahan LDP bangkit dengan transformasi dan memperbaiki kelemahan mereka dengan segera. Kepimpinanan LDP merangka dan menawarkan naratif baharu yang tersusun akhirnya pada tahun 2012 LDP kembali berkuasa di Jepun.

Saya berkeyakinan tagline ‘kerajaan sepenggal’ bukan fantasi tetapi realiti yang mampu direalisasikan dengan syarat momentum kemenangan di Tanjung Piai disubur dan diperkasakan seiring dengan naratif Muafakat Nasional sebagai tawaran baharu (new deal) yang mampu membina Malaysia ke arah lebih bermaruah.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#muafakatnasional
#demiummah
#akhiratdidepan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.