PRK Tg Piai: 50 Peratus Keluar Mengundi Setakat 1 Petang

PONTIAN, 16 Nov – Sebanyak 50 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat pukul 1 petang tadi, menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Facebook.

Semua 27 pusat mengundi dengan 125 saluran dibuka tepat 8 pagi tadi.

Proses pengundian yang akan berlangsung sehingga 5.30 petang ini melibatkan 52,471 pemilih berdaftar dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daripada jumlah itu akan keluar mengundi hari ini.

Dua daripada enam calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen itu, calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck, 55, dan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, 66, selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming 1 & 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kerang dan seawal 8.05 pagi tadi.

Sementara itu, empat calon lain yang bertanding merupakan pengundi berdaftar di luar Parlimen Tanjung Piai.

Dari segi cuaca, sepanjang pagi tadi, cuaca baik hampir di keseluruhan kawasan pusat mengundi dengan beberapa kawasan dilihat mendung.

Semalam, Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca mendung pada waktu pagi manakala ribut petir di kawasan Parlimen Tanjung Piai pada sebelah petang nanti.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru yang turut melibatkan calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.