Pengundian Awal PRK Parlimen Tanjung Piai Hari Ini

PONTIAN, 12 Nov – Dua saluran mengundi di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini mula dibuka pada 8 pagi ini bagi membolehkan 280 pengundi awal melibatkan anggota polis menunaikan hak mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Pusat Pengundian Awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas (Saluran 1) dibuka mulai 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bagi DUN Kukup (Saluran 2), waktu pengundian dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang.

Proses pengundian awal tersebut akan disaksikan ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR.

SPR turut menyiarkan proses pengundian berkenaan secara langsung atau ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis.

Pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian 16 Nov ini, di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Pontian dan akan disaksikan oleh ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Pakatan Harapan (PH) pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Ia melibatkan pertandingan enam penjuru antara calon PH Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; calon Gerakan Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52,986 pengundi yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan pengundi tidak hadir luar negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.