“Satu Undi Kepada PH, Bermakna Satu Undi Kepada Dap” – Ismail Sabri

TANJUNG PIAI, 9 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi ingatan kepada pengundi Tanjung Piai supaya tidak mengundi Pakatan Harapan (PH)  kerana ia umpama menyumbang kepada kekuatan Dap.

“Jika mereka (PH) menang maka bertambah kuatlah cengkaman Dap dan juga bertambah jauh perjalanan mereka… akhirnya mereka akan memerintah negara kita.

“Satu undi kepada PH, bermakna satu undi kepada Dap. Walaupun yang bertanding itu adalah daripada parti Bersatu tetapi sebenarnya di belakangnya adalah Dap,” tegasnya semasa ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telok Kerang, di sini Jumaat malam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Tampin, Mohd Isam Mohd Isa, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Abdullah Hussin, Bekas Naib Pengerusi Biro Buruh Dap, Amran Ahmad dan Pengerusi PDM Teluk Kerang, Asha’ari Karsan.

Jelas Ahli Parlimen Bera itu lagi, agenda Dap hanya untuk kepentingan sebuah kaum yang menjadi dominan dalam parti itu sahaja jauh melebihi dari kaum yang lain.

“Sekarang dah memerintah melalui orang lain. Satu hari nanti kalau mereka dapat dua pertiga kerusi… macam-macam yang boleh dipinda. Jika mereka (Dap) menguasai kerusi di dalam Parlimen dan waktu itu janganlah kita nak menangis lagi kerana selepas itu Dap akan memerintah selama-lamanya.

“Kita berikan isyarat awal bahawa kita tolak Dap. Kalau kita tolak Dap kita kena tolak calon PH pada 16 November nanti. Kita kena pastikan calon kita menang walaupun calon BN bukan daripada kaum kita, sebab di belakang calon itu adalah UMNO, PAS dan sebagainya.

“Saya menyeru, memohon dan merayu kepada pengundi, 16 November undilah calon Barisan Nasional (BN),” serunya.

Ulas Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera, majoriti rakyat seluruh Malaysia sudahpun jelak dan muak dengan kerajaan PH hari ini yang gagal menjaga kepentingan rakyat.

Kerana itulah katanya, kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai ini menjadi satu manifestasi penolakan tersebut.

“Bukan saja rakyat di Tanjung Piai tak nak kerajaan hari ini, tetapi seluruh Malaysia tak nak kerajaan PH. Sebab itu kita beri ‘signal’ yang jelas tolak PH pada 16 November dan pastikan calon BN memenangi dalam PRK ini.

“Pengundi-pengundi Tanjung Piai boleh menghantar isyarat kepada kerajaan PH. Sebab itulah seluruh rakyat Malaysia mengharapkan pengundi-pengundi Tanjung Piai ini memberikan isyarat yang jelas kepada kerajaan hari ini,” katanya. – UMNO ONLINE

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.