Melayu Hanya ‘Wayang’ Dalam Dap, Dedah Bekas Naib Pengerusi Biro Buruh

TANJUNG PIAI, 9 Nov – Bekas Naib Pengerusi Biro Buruh Dap, Amran Ahmad menjelaskan bahawa parti Dap adalah ancaman kepada keharmonian negara ini.

Katanya, apa yang dikhuatiri selama ini menjadi kenyataan apabila ada orang Melayu menyertai Dap di mana mereka menganggap orang Melayu dalam parti itu hanya sebagai ‘boneka’.

“Dalam Dap ini, Melayu tidak ada peranan dan kalau ada pun hanyalah sebagai ‘wayang’ untuk menampakkan bahawa Dap ini adalah sebuah parti yang berbilang kaum.

“Dap adalah musuh orang Melayu yang nyata dan bukannya retorik mahupun propaganda yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) dan sebagainya,” katanya semasa ceramah isu semasa di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telok Kerang, malam tadi, di sini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin, Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Tampin, Mohd Isam Mohd Isa, Pengerusi PDM Telok Kerang, Asha’ari Karsan, Ketua-ketua Cawangan dan pengundi-pengundi di PDM Teluk Kerang.

Dalam pada itu, menurut Amran lagi Ahli Parlimen Raub dari Dap dan juga Naib Pengerusi Dap Kebangsaan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji memasuki Dap hanya sebagai ‘pasu bunga’, tiada kemampuan untuk bersuara dan hanya duduk seolah-olah ada Melayu dalam Dap.

Menurut beliau, pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu Dap meletakkan Melayu dalam kerusi-kerusi yang akan kalah, tetapi kerana tsunami kerusi-kerusi ini menang dan calon Melayu tidak mampu bersuara.

“Ini kesilapan Melayu yang terbawa-bawa sentimen Tun Mahathir sehingga lupa apabila Dap menang dan siapa akan menguasai negara ini walaupun perdana menteri orang Melayu.

“Kalau ada orang Melayu yang ada niat mahu memangkah PH pada PRK ini atau PRU akan datang, tolonglah… fikirlah masak-masak kerana mereka (Dap) ada niat yang jahat untuk mengalih sebahagian ekonomi ini ke bangsa Dap,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.