Tanjung Piai Medan Anak Muda Nyatakan Kekecewaan Terhadap PH – Ah Soon

TANJUNG PIAI, 2 Nov – Ketua Pemuda MCA Negeri Johor Ling Tian Soon berkata, inilah peluang keemasan golongan muda untuk menyatakan kekecewaan kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dengan menolak calon mereka di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Jelas beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ah Soon, sejak PH mentadbir negara, majoriti rakyat tanpa mengira kaum dan agama berasa kesal kerana mereka tidak mementingkan kesejahteraan rakyat sehinggakan kehidupan semakin terhimpit.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) kerana telah membuat satu keputusan yang cukup bertoleransi dan memastikan kemenangan BN di PRK Tanjung Piai.

“Sebagai pemimpin anak muda, saya amat berharap agar anak muda akan bersuara melalui undi bagi menunjukkan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan PH. PH seakan lupa bahawa kemenangan mereka pada PRU-14 yang lalu banyak dibantu oleh undi anak muda tetapi kini anak muda ditipu.

“Maka anak muda harus memberi tekanan kepada kerajaan PH agar mereka akan melaksanakan segala janji yang telah mereka buat pada pilihan raya lalu,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru Ah Soon merayu kepada seluruh pengundi khususnya orang muda untuk memberi sokongan dan mandat kepada BN supaya wakil dari BN boleh membawa suara masyarakat Tanjung Piai ke dalam Dewan Rakyat.

PRK Tanjung Piai secara rasminya bermula hari ini dengan menyaksikan pertembungan enam penjuru antara BN dengan calonnya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, Gerakan Wendy Subramaniam, Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua dari Bebas, Dr Ang Chuan Lok serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu.

Seramai 52,986 orang pengundi akan terlibat proses demokrasi tersebut, yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan 8 orang pengundi tidak hadir (luar negara) berdasarkan Daftar Pemilih Suku Tahun Kedua 2019 yang dikemaskini sehingga 23 September.

PRK Tanjung Piai adalah PRK kelapan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018); Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018); DUN Semenyih (2 Mac 2019); DUN Rantau (14 April 2019); dan Parlimen Sandakan (11 Mei 2019). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.