Heret PTPTN Tindakan Bodoh? Biar Mahkamah Putuskan… – Peguam


KUALA LUMPUR, 24 Okt – Peguam bela dan peguam cara, Adnan Seman menangkis dakwaan yang mengatakan tindakan lima anak muda yang memfaikan saman ke atas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), parti Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan sebagai bodoh.

Katanya, ini berdasarkan reaksi satu posting di Facebook yang mengkritik lima anak muda dengan mengatakan ia satu tindakan bodoh kerana saman tersebut akan kalah, berdasarkan telah ada keputusan mahkamah terdahulu yang memutuskan manifesto bukan janji yang mengikat kerajaan dan apabila kalah nanti mereka akan dikenakan kos serta denda dan jika tidak mampu membayar akan menyebabkan muflis.

“Selain itu penulis juga menyatakan bahawa lima anak muda ini adalah orang UMNO / PAS berdasarkan Facebook mereka dan peguam (saya) yang mewakili mereka adalah juga orang UMNO dan bekas calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bandar Tun Razak.

“Turut berada di tengah-tengah gambar di hadapan mahkamah Kuala Lumpur adalah orang UMNO (Merujuk kepada Datuk Razlan Rafii, Majlis Tertinggi UMNO),” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya.

Selasa lalu, lima peminjam PTPTN terbabit, Andry Putra Haris, 28, Farah Athirah Kamarozaman, 27, Mohamad Asrol Md Jailani, 26, Mohamad Muzakkir Mohamad Ali, 26, dan Mohammad Aswad Sobri, 34, memfailkan saman terhadap agensi itu, PH dan kerajaan melalui firma Messrs Adnan Sharida & Associates di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Berikut merupakan penjelasan Adnan mengenai persetujuan beliau mewakili kelima-lima plaintif tersebut.

1. Pertamanya, dalam perbincangan saya dengan Datuk Razlan, Gulam dan beberapa teman yang lain saya bersetuju mewakili lima anak muda ini yang pada awalnya berjumpa Datuk Razlan bagi menyaman kerajaan berkaitan PTPTN apabila di dalam Bajet 2020 yang baru dibentangkan kerajaan langsung tidak menyentuh soal PTPTN dan mereka tidak berpuashati.

2. Namun saya menyatakan bahawa sudah ada keputusan di Mahkamah Rayuan berkaitan isu manifesto ini.

3. Kes Kerajaan Negeri Selangor vs Murtini Kasman dan lain-lain. Mahkamah Rayuan pada 5 Mac 2014 yang memutuskan bahawa janji-janji pilihan raya yang dibuat oleh parti politik bukanlah janji oleh kerajaan. Parti dan kerajaan adalah dua entiti berbeza. Obligasi untuk melaksanakan janji pilihan raya hanyalah obligasi moral semata-mata.

Selain itu juga Mahkamah Rayuan ada merujuk prinsip undang-undang di United Kingdom (UK) bahawa kerajaan tidak terikat dengan manifesto pilihan raya (kes Bromley London Borough Council vs Greater London Council).

4. Walaubagaimana saya bersetuju untuk membawa kes terbaru oleh lima anak muda ini kerana keputusan kes Murtini terhenti di Mahkamah Rayuan. Maka amat wajar satu kes difailkan dan dibawa sehingga Mahkamah Tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada manifesto adalah satu akujanji yang mengikat kerajaan atau tidak.

5. Apatah lagi Mahkamah Persekutuan tidak terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Murtini Kasman serta tidak juga semestinya menerimapakai prinsip undang-undang di dalam kes Bromley London.

6. Amat penting pada akhirnya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan muktamad tentang perkara berkaitan manifesto ini kerana tidak dapat kita nafikan Manifesto Pilihan Raya merupakan satu janji dan bahan kempen yang paling berkesan semasa pilihan raya.

7. Setiap kali pilihan raya diadakan parti-parti bertanding akan membentangkan janji-janji manifesto masing-masing bagi meyakinkan pengundi-pengundi untuk mengundi mereka dan seterusnya memastikan mereka memenangi pilihan raya dan itulah yang terjadi semasa Pilihan Raya Umum 14 (PRU-14) yang lalu.

8. Malah sepanjang beberapa tahun sebelum PRU-14 di dalam ceramah, jelajah, himpunan mahupun kempen di media sosial segala janji-janji manfesto ini diulang-ulang untuk mempengaruhi minda pengundi-pengundi. Pengundi-pengundi terutamanya anak-anak muda sememangnya tertarik dan menerima janji-janji pilihan raya sebagai sesuatu yang akan dilaksanakan kerajaan selepas pilihan raya.

9. Buku Harapan yang menjadi manifesto PH sememangnya telah mempengaruhi pola pengundian memihak PH semasa PRU-14. Rakyat percaya bahawa BN gagal menguruskan soal PTPTN, cukai barang dan perkhidmatan (GST), tol, harga minyak, peluang pekerjaan dan lain-lain apabila mereka membaca dan mendengar kempen besar-besaran berkaitan Manifesto PH pada PRU-14.

10. Manifesto BN jelas gagal menyaingi manifesto PH yang menjanjikan lebih banyak dan pelbagai tawaran besar, penjimatan dan kesenangan kepada rakyat.

11. Sekiranya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan kedudukan undang-undang berkaitan manifesto ini dan menjadi satu keputusan tertinggi dan muktamad ianya juga sekurang-kurangnya akan mewujudkan kesedaran nasional bahawa manifesto bukanlah satu janji yang akan dilaksanakan.

12. Maka tidak perlulah mana-mana parti yang bertanding nak menabur janji atau membentangkan janji manifesto kerana itu semua hanyalah cakap-cakap kosong, janji-janji manis atau gula-gula pilihan raya yang tidak ada sebarang kesan jika ianya tidak dilaksanakan.

13. Pengundi-pengundi juga janganlah terpedaya dengan janji-janji manifesto yang dibentangkan sebelum PRU-15 jika ada.

Kos, Denda dan UMNO

14. Berkaitan kos saya juga telah maklumkan anakguam iaitu lima anak muda ini bahawa peluang untuk Mahkamah Persekutuan memutuskan manifesto adalah Akujanji yang tidak mengikat amatlah tinggi. Maka mereka telah bersedia tentang kos yang akan dikenakan sekiranya tindakan saman mereka dibatalkan mahkamah. Tiada denda yang akan dikenakan seperti dakwaan penulis tersebut.

15. Manakala kos guaman saya adalah PERCUMA atau secara pro bono kerana saya juga ingin mengetahui apakah keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai manifesto pilihan raya ini.

16. Tentang dakwaan penulis bahawa lima plaintif ini orang UMNO/PAS apabila melihat Facebook mereka ianya adalah kesimpulan penulis sahaja. Ramai anak muda kini menyatakan sokongan mereka kepada pembangkang setelah rasa tertipu dengan janji-janji PRU14 oleh PH.

Apa yang penting bagi saman ini adalah mereka mestilah pengundi berdaftar pada PRU-14, peminjam PTPTN dan bergaji kurang dari RM4,000.

17. Boleh dengar sendiri penjelasan panjang lebar saya di ruang legar Mahkamah Kuala Lumpur dalam video di bawah ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.